KUBU PERTAHANAN BROOKE DI SARAWAK

Kubu atau kuta merupakan satu element penting dalam aspek pertahanan sebuah kerajaan pada masa dahulu. Fungsi utama benteng pertahanan yang dibina oleh manusia ini adalah lambang kegagahan dan kuasa sesuatu kerajaan. Selain itu, kubu turut dijadikan sebagai tempat bertahan untuk menghindari serangan musuh. Kubu juga menjadi tempat pentadbiran oleh pemerintah dalam jajahan taklukannya. Kubu selalunya dibina di kawasan yang strategik seperti di atas bukit dan di tepi sungai untuk memantau dan mengetahui pergerakan musuh yang datang. Sekiranya, kubu runtuh dan berjaya ditawan oleh pihak lawan maka berakhirlah kuasa pemerintah itu. Tiada hairanlah, kubu jadikan sebagai satu monument penting sebuah kerajaan. 

Sarawak sendiri mempunyai sekurang-kurangnya 24 kubu yang dibina semasa pemerintahan Rajah-rajah Brooke. Enam daripadanya masih belum digazet disebabkan oleh faktor kerosakan dan hanya tinggal tapak sahaja. Berikut merupakan antara sebahagian  kubu-kubu yang masih berdiri teguh di tanah Bumi Kenyalang ini:

Kubu Emma, Kanowit (1851)
Sumber: Bombastic Borneo

Kubu Emma atau Fort Emma merupakan sebuah kubu paling tua yang masih berdiri teguh di Kanowit. Nama Kubu Emma ini diambil sempena nama adik perempuan James Brooke iaitu Emma Brooke. Bahan binaan pertama untuk mendirikan Kubu Emma ini adalah buluh dan nipah. Namun bagi menjaga kekukuhannya, buluh dan nipah digantikan dengan kayu belian tapi tidak mengubah struktur seni bina kubu ini.  Manakala, tingkat bawahnya pula dibina tanpa menggunakan simen untuk menempatkan pesalah-pesalah sebelum dihadapkan ke mahkamah. Kubu Emma dijaga oleh tentera berketurunan Sikh dan polis hutan Sarawak Kingdom.

Pembinaan Kubu Emma ini adalah hasil titik peluh penduduk tempatan dan mereka menerima upah dalam bentuk bekalan makanan, bahan mentah dan tembakau. Fungsi Kubu Emma semasa era Sarawak Kingdom adalah sebagai  dijadikan benteng risikan untuk memantau serangan dari Orang Iban dan Melanau dari Ulu Batang Rejang. Di samping itu, Kubu Emma turut menjadi pusat pentadbiran kerajaan Sarawak Kingdom di wilayah Kanowit. Setiap tingkat Kubu Emma mempunyai fungsinya sendiri. Tingkat bawah dijadikan sebagai penjara manakala tingkat atas dijadikan pejabat kepada Ketua Adat Istiadat (Abang). Pegawai Daerah dan kakitangan kerajaan turut bertempat di kubu ini. Semasa pemerintahan Rajah Charles Vyner Brooke (Rajah III), tingkat atas dijadikan tempat penginapan bagi orang-orang besar kerajaan. 

Pada 25 Jun 1859, Kubu Emma berjaya ditawan oleh penduduk tempatan Sarawak iaitu Sawing dan Sakalai. Mereka berjaya membunuh dua orang pegawai British iaitu Charles Fox dan Henry Steele. Serangan berpunca apabila penduduk pribumi tidak puas hati terhadap dasar perjanjian Brooke yang menyekat pergerakan penduduk di kawasan persisiran dan kutipan cukai. Di samping itu, Brooke juga melanggar adat resam dan kebudayaan penduduk pribumi Sarawak. Budaya yang ingin dihapuskan oleh Brooke adalah “Head Hunter” yang diamalkan oleh Orang Iban. Rentetan daripada serangan ini, Brooke membalas kembali serangan untuk menawan kubu itu semula. Serangan balas ini menjadi titik permulaan bagi Brooke meluaskan pengaruhnya di Sungai Rejang, Mukah dan Oya.

Kubu Alice, Sri Aman (1864)

Sumber: Bombastic Borneo
Mula dibina pada tahun 1864 di atas bukit berhampiran Sungai Batang Lupar, Sri Aman (Simanggang). Kubu ini dinamakan sebagai Alice sempena nama isteri Rajah Charles Brooke iaitu Ranee Margaret Alice. Pembinaan Kubu Alice memakan belanja sebanyak 1,011,111 Dollar Sarawak yang dibayar oleh Charles Brooke. 

Di samping itu, kubu ini turut menggunakan kerahan tenaga penduduk tempatan selama setahun tempoh pembinaan. Menariknya, kayu-kayu yang digunakan untuk membina kubu ini adalah hasil dari kayu belian Kubu James yang pernah berdiri di Skrang. Kubu James telah dirobohkan ekoran banjir yang sering melanda di kawasan tersebut.

Keluasan Kubu Alice adalah lebih kurang 60m lebar dan 67m panjang. Kubu turut mempunyai dua tingkat dan setiap tingkat mempunyai peranannya sendiri. Keistimewaan yang terdapat pada kubu ini adalah berbentuk lima. Bahagian dinding Kubu Alice yang bertingkap menghadap ke Sungai Lupar bagi membolehkan meriam dihalakan ke kawasan sungai sekiranya berlaku kecemasan peperangan. 

Fungsi Kubu Alice sama seperti kubu-kubu lain sebagai pusat pertahanan dan pentadbiran. Kedudukannya yang strategik membolehkan pasukan tentera Sarawak Kingdom mengawasi kestabilan hulu dan hilir Sungai Batang Lupar. Kubu Alice turut menjadi saksi bisu apabila Rajah Brooke mula memperkenalkan Sistem Monarki di Tanah Sarawak dan Kubu Alice menjadi pusat pentadbirannya. Selain itu, Kubu Alice turut bertindak sebagai mahkamah dan penjara. Kes-kes yang sering dibicarakan dan dikendali oleh kakitangan kerajaan adalah berhutang dan pergaduhan. Charles Brooke pula berkuasa keatas kes berat seperti kes bunuh dan mencuri.

Kubu Margherita, Kuching (1879)
Sumber: The Brooke Gallery

Kubu Margherita sangat sinonim dengan bandaraya Kuching. Dibina pada tahun 1879 oleh Rajah Sarawak Sir Charles Brooke dan nama kubu ini diambil sempena nama isterinya iaitu Ranee Margaret  Brooke. Reka bentuk Fort Magherita mendapat inspirasi daripada istana lama Inggeris moden dengan kos pembinaan iaitu 8,100 Dolar Spanish. Kubu Margherita terletak di tebing Sungai Sarawak yang menghadap bandar Kuching serta dikelilingi oleh perkampungan Melayu. disebelah barat kubu ini terletaknya Astana (1870) yang dibina oleh Charles Brooke sebagai hadiah untuk isterinya dan kediaman rasmi Brooke. Manakala, di tebing bertentangan kubu ini terletaknya Square Tower (1879) yang berperanan sebagai penjara. 

Kubu ini mempunyai tiga tingkat dan berbentuk bangunan segi empat dari batu-bata berplaster. Bahagian bawahnya hanyalah tanah dan dijadikan sebagai bilik kawalan dan tahanan. Tangga putar (spiral staircase) kubu ini diperbuat daripada berlian dan bertiangkan besi untuk menghubungkan setiap aras sehingga ke bumbung. Aras 1 dan 2 dijadikan sebagai kediaman tentera manakala bahagian bumbung dijadikan sebagai tempat kawalan. Menara yang terdapat di atas bumbung kubu ini bertujuan untuk meninjau jarak yang lebih jauh. Lubang-lubang meriam turut dihalakan di kawasan sungai dan perkampungan bagi tujuan keselamatan. Kubu Magherit turut mempunyai laman yang luas untuk pembarisan pasukan tentera Sarawak Kingdom.

Sepanjang hari, antara 8 malam dan 5 pagi, pengawal kubu yang bertugas dibenteng akan melaung dengan nyaring “Semua Baik”. Laungan ini akan disahut oleh pengawal di Astana disusuli pengawal di Bangunan Mahkamah dan berakhir dengan pengawal di Penbendaharaan. Hal ini bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga dan secara tidak langsung memberi keyakinan kepada penduduk tentang keadaan sekeliling. 

Kuching melalui frasa aman sehingga pada 19 Disember 1941 apabila penjajahan Jepun mula bermaharajalela di Tanah Melayu dan Borneo. Charles Vyner Brooke tidak menjangka bahawa tentera Jepun akan mengebom Kubu Margherita.  Namun, bom itu tersasar sehingga mengorbankan 25 orang awam dan 80 orang cedera. Setelah beberapa hari, Kubu Magherita berjaya ditawan Jepun dan dijadikan Pejabat Kampetai Jepun (Perang Dunia ke-2). Secara kronologinya, Kubu Margherita telah mengibarkan empat bendera dibentengnya sebagai tanda tanda kemegahan iaitu bendera Rajah Sarawak (62 tahun), bendera Hinomaru (semasa perang), bendera British Union (sehingga 1963) dan akhirnya bendera Sarawak (1963-kini) berkibar megah di benteng Kubu Margherita.

Kubu Sylvia, Kapit (1880)

Sumber: Kuching Borneo

Kubu ini dibina pada tahun 1880 oleh Charles Brooke. Asalnya, kubu ini bernama Kubu Kapit namun dinamakan semula sebagai Kubu Sylvia pada tahun 1925 sempena nama isteri kepada Rajah Charles Vyner Brooke (III) iaitu Lady Sylvia Brett (Ranee of Sarawak). Kubu ini terletak di bandar Kapit dan dibina daripada pokok belian yang tebal di bahagian dinding untuk menahan serangan musuh. Umumnya seperti diketahui, fungsi kubu ini sama seperti kubu lain era pemerintahan Brooke. Francis Domingo De Rozario merupakan pegawai pertama yang bertugas di Kubu Sylvia dari tahun 1880 sehingga 1911.

Kubu Sylvia dibina di Kapit, Sibu untuk menghalang perpindahan orang Iban di persisiran Sungai Rejang. Brooke khuatir perpindahan mereka ke Sibu akan menimbulkan kekecohan dan meluaskan pengaruh mereka sehingga ke kawasan Orang Ulu. Menariknya kubu ini pernah menjadi tempat tentera Sarawak Kingdom untuk melancarkan serangan antaranya:

1. Ekspedisi Pertama Bukit Batu (9/2/1881)
2. Ekspedisi Cheremin (19/6/1894)
3. Ekspedisi Yong (25/6/1894)
4. Ekspedisi Gaat Kedua (22/2/1915)
5. Ekspedisi Mujong (14/5/1915)
6. Ekspedisi Naga Pila (2/4/1916)                     (Borneo Oracle FB, 2016)

Selain itu, Kubu Sylvia turut menjadi saksi perjanjian damai antara kaum sesuai dengan peranannya sebagai pusat pentadbiran. Antara perjanjian damai yang termeterai adalah:

1. Perjanjian Damai Merum (20/10/1907)
2. Perjanjian Damai antara etnik Iban dengan Kayan, Kenyah dan Kajang (16/11/1924)                
                                                                            (Borneo Oracle FB, 2016)               

                                                                                           
-NNZ-

Rujukan

Shaik Azahar Shaik Hussain, (n.d). Analisa Pengetahuan Masyarakat Sarawak tentang Kubu-Kubu yang terdapat di Sarawak. Retrieved from
https://www.academia.edu/19995680/ANALISA_PENGETAHUAN_MASYARAKAT_SARAWAK_TENTANG_KUBU-KUBU_YANG_TERDAPAT_DI_SARAWAK

Haslina Bujang, (2015). Fort Emma, Kanowit Sarawak. Retrieved from
http://alexlynbujang.wixsite.com/borneooracle/single-post/2015/08/09/FORT-EMMA-KANOWIT-SARAWAK?fbclid=IwAR190Twduw1vYoUmUk9r5kFjH71H6QFT0zmEHT7IBVALYazVXUL8BaOhSqM

Shaik Azahar Shaik Hussain, (n.d). Pengenalan kepada Kajian Respon Penduduk Sri Aman mengenai Pembangunan Semula Kubu Alice untuk dijadikan sebagai Muzium Warisan. Retrieved from
https://www.academia.edu/12882640/PENGENALAN_KEPADA_KAJIAN_RESPON_PENDUDUK_SRI_AMAN_MENGENAI_PEMBANGUNAN_SEMULA_KUBU_ALICE_UNTUK_DIJADIKAN_SEBAGAI_MUZIUM_WARISAN

Agnes Tugong, (2014). Kubu Margherita sarat sejarah. Retrieved from
https://www.utusanborneo.com.my/2014/09/11/kubu-margherita-sarat-sejarah

Borneo Oracle FB Page, (2016). Fort Sylvia, Kapit, Sarawak. Retrieved from
https://web.facebook.com/BorneoOracle/posts/fort-sylvia-kapit-sarawakfort-sylvia-yang-terletak-di-bandar-kapit-yang-juga-ant/1088306991216184/?_rdc=1&_rdr

Comments

Popular Posts