KEBANGKITAN RATU ISABELLA DAN RAJA FERDINAND

Penakluk Kota Andalusia ini dilahirkan pada 22 April 1451 (Khamis) di bandar Murcia, wilayah Madrigal dibawah pemerintahan kerajaan Castile (Kini sebahagian daripada Sepanyol). Pada ketika itu, Sepanyol dibahagi kepada empat kerajaan iaitu Castile, Aragan, Granada dan Navarre. Ratu Isabella merupakan penganut fanatik agama Kristian Katolik. Pada usia remaja, abang tiri Ratu Isabella, iaitu Raja Enrique memaksa beliau berkahwin dengan Raja Portugal atas tujuan peribadi untuk meluasakan pengaruh politiknya tetapi Ratu Isabella telah memilih Raja Ferdinand (anak Raja Aragan) sebagai peneman hidup. Hal ini telah menaikkan kemarahan Raja Enrique, justeru melantik anak perempuan nya Yuana sebagai pewaris takhta Castile.

Selepas kemangkatan Raja Enrique, tercetusnya perang saudara antara Ratu Isabella dan Yuana. Peristiwa ini tercetus kerana Isabella menuntut haknya sebagai pewaris takhta namun ditentang oleh penyokong Yuana. Berbekalkan sokongan daripada suaminya, Isabella memperoleh kemenangan manakala Raja Ferdinand menaiki takhta kerajaan Aragan. Secara tidak langsung, Ratu Isabella dan Raja Ferdinand memerintah sebahagian besar Sepanyol ketika itu. 

Ratu Isabella dan Raja Ferdinand mempunyai keinginan yang tinggi untuk menawan keseluruhan Kota Andalusia. Ratu Isabella yang sedia maklum akan kelemahan umat Islam telah mengumpan mereka denga tarian, arak, dan perempuan. Ternyata, apa yang diusahakan oleh ratu ini membuahkan hasil apabila ramai umat Islam yang leka dengan kelalaian duniawi ini.

Penawanan Kota Andalusia.

Kedatangan Islam di Kota Andalusia bermula apabila ekpedisi umat Islam dibawah pimpinan Thariq bin Ziyad pada tahun 711 Masihi. Pemerintahan Islam telah berkuasa selama 800 tahun lamanya di bumi Spanyol. Namun begitu, akibat sikap tidak berwibawa Khalifah Hisyam Al-Muaiyad telah menyebabkan rakyat berasa tidak puas hati akan pemerintahannya. Akhirnya, pemerintahan Khalifah Umayyah Andalusia mengalami pepecahan apabila pembesar-pembesar di seluruh wilayah Andalusia mahu mentadbir sendiri tanpa bernaung dibawah pemerintahan Khalifah Umayyah Andalusia. 

Pepecahan yang berlaku ini telah menjadi batu loncatan kepada pemerintah Kristian untuk menghasut para pembesar terus memberontak kepada pemerintahan sedia ada. Sedikit demi sedikit Kota di Spanyol berjaya ditawan oleh pemerintah Kristian. Kemaraan Raja Ferdinand dan Ratu Isabella bermula di Kota Alhama rentetan daripada penawanan di Kota Zahara oleh Raja Abu Al-Hassan (Raja Granada). Hal ini kerana, Ferdinand bercadang mahu menawan wilayah Moor yang kaya dan subur dengan hasil alam. Tentera Islam dibawah pimpinan Raja Abu Al-Hassan dan Hamid Al-Zagal terpaksa berundur kembali ke Granada apabila Don Rederigo atau Marquis de Cadiz berjaya menawan Kota Alhama. Marquiz de Cadiz merupakan pejuang hebat Kristian yang berketurunan Ponces. Raja Ferdinand telah menghantar pesanan kepada beliau untuk mengintip tahap keselamatan Kota Alhama, memandangkan penempatannya yang berhampiran dengan sempadan Moor. 

Kota Alhama menjadi perintis untuk menawan keseluruhan Andalusia bagi Isabella dan Ferdinand. Mereka mula menyusun strategi dan membuat persiapan rapi untuk menakluk wilayah Granada satu persatu. Semasa dalam ekspedisi untuk menawan kota seterusnya iaitu Kota Madinah Lawsa, Ratu Isabella telah selamat melahirkan dua orang puteri kembar namun seorang daripadanya meninggal dunia. Hal ini telah menyebabkan Raja Ferdinand terpaksa menangguhkan keberangkatan mereka. Ekspedisi tentera Kristian kali ini agak mencabar kerana terpaksa mengharungi permukaan geografi bergunung-ganang yang dipenuhi gaung dan curam. Tanggal 13 Julai 1482, tentera dibawah pimpinan Raja Ferdinand  bersiap sedia memulakan pertempuran dengan tentera Islam Moor dibawah pimpinan Ibrahim Ali Al-Attar. Pertempuran sengit berlaku dan kemenangan akhirnya berpihak kepada tentera Islam. Raja Ferdinand terpaksa akur dan pulang semula Cardoba. 

Kekalahan tentera Kristian di kota Madinah Lawsa ini disebabkan oleh kesilapan strategi dan kelemahan emosi bala tentera pimpinan Raja Ferdinand. Faktor muka bumi yang bergunung-ganang itu ternyata mencabar kekuatan tentera Kristian kerana mereka tidak mempunyai kemahiran berperang di kawasan pinggiran gunung. Sehubungan itu, mereka turut tidak mempunyai ahli tentera yang pakar dengan selok-belok kawasan  berbukit yang curam. Ibrahim Ali Al-Attar telah menjadikan kelemahan tentera Kristian ini sebagai satu peluang untuk mengumpan mereka. Strategi yang dilaksankannya adalah dengan membiarkan musuh mengikut beliau dari belakang dengan menuruni bukit yang curam dan licin. Akhirnya, beribu-ribu tentera Kristian yang tiada kemahiran itu jatuh ke dalam gaung. Di samping itu, semangat juang tentera Kristian yang luntur turut menjadi faktor kekalahan disebabkan mereka tidak dibayar seperti yang ditetapkan. 

Tidak meratapi lama atas kekalahan di Madinah Lawsa, tentera Kristian meneruskan ekspedisi untuk menawan Kota Malaga. Ekspedisi tentera Kristian ke Malaga diketahui oleh adik Raja Abu Al-Hassan iaitu Al-Zagal. Justeru, Al-Zagal mengatur strategi untuk menyerang mereka ke luar kota atas faktor kepakaran mereka berperang di kawasan pergunungan. Pertempuran antara tentera Islam dan Kristian di kota Malaga sangat sengit dan akhirnya turut berpihak kepada tentera Islam. Kekalahan ini amat mengecewakan Raja Ferdinand dan Ratu Isabella. Namun begitu, konflik dalaman yang terjadi antara Raja Moor telah memberi kesempatan kepada Raja Ferdinand untuk menawan Andalusia dengan mudah. Hal ini kerana, pemberontakan yang dibawa oleh putera Raja Abu Al-Hassan iaitu Abu Abdullah dan Permaisuri Aishah. Abu Abdullah tidak berpuas hati apabila ayahandanya berniat untuk menyerah takhta kepada saudara tirinya. Hasil pemberontakan itu telah berjaya mengangkat Abu Abdullah menjadi Raja Granada dengan gelaran Raja Muhammad XII.

Akibat perbalahan ayah dan anak ini, Raja Ferdinand berjaya menawan kota Lopera. Ratu Isabella dan suaminya semakin agresif dalam misi menakluk Andalusia dengan mensasarkan serangan keatas kota Alora, Coin, Cazarabonela, Almeria dan Cartama. Hal ini amat membimbangkan Raja Abu Al-Hassan yang sedang terlantar sakit dan buta. Baginda mengharapkan Al-Zagal dan Hamid Al-Zagari untuk terus mempertahankan wilayah Andalusia dan agama Islam. Raja Ferdinand telah mengarah bala tenteranya menuju ke Kota Ronda yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Malaga. Kota Ronda dikawal oleh panglima perkasa Hamid Al-Zagri. Taktik serangan tentera Kristian adalah dengan tipu helah meninggalkan sedikit bala tentera di Malaga dan sebahagian lagi beundur dan bersedia menyerang Ronda bagi mengaburi Al-Zagal. Faktor jarak yang dekat antara Malaga dan Ronda menjadi pemacu tentera Kristian menjayakan misi ini.Mereka telah melakukan serangan olok-olok ke atas Malaga dengan bunyi bedilan meriam untuk memancing Hamid Al-Zagri dan bala tentera keluar menghulurkan bantuan kepada Al-Zagal.  Namun, sebaliknya terjadi apabila kota Ronda telah dikepung dan diserang. Akhirnya, selepas 15 hari dikepung Kota Ronda jatuh ke tangan Kristian dan Hamid Al-Zagri pulang ke Malaga dengan hati yang luluh. 

Ekspedisi penaklukan Andalusia oleh Ratu Isabellah dan Raja Ferdinand diteruskan tapi kali ini turut disertai oleh Raja Muhammad XII. Raja Muhammad telah melarikan diri dari Almeria apabila mengetahui Al-Zagal mahu berjumpa dengan nya. Niat asal, Al-Zagal mahu berunding cara baik dengan Raja Muhammad demi kesucian Islam tapi disalah tafsir oleh Raja Muhammad sendiri. Hal ini telah membawa baginda ke Kota Cardoba untuk mendapatkan perlindungan politik dari Raja Ferdinand. Komplot antara Raja Muhammad dengan raja Kristian ini telah mencetuskan kemarahan berganda kepada Al-Zagal. Hasil pujukan Raja Muhammad keatas penduduk setempat, tentera Kristian berjaya menawan wilayah kecil antaranya Benamexi atau Benameji dan seterusnya Albaycin. Penawanan Bandar ini telah memudahkan tentera Kristian menakluk Kota Madinah Lawsa, kota idaman Ratu Isabella. 

Rentetan daripada penaklukan Madinah Lawsa ini menjadi pemangkin untuk untuk mereka menyerang Kota Illora. Hari pertama pertempuran, tentera Kristian mengalami kekalahan teruk tapi tidak mematahkan semangat raja mereka. Sehubungan itu, taktik tipu helah yang pernah digunakan semasa kempen peperangan di kota Ronda diguna pakai sekali lagi. Tentera Kristian berundur dari Kota Illora dan menuju ke Kota Granada. Hal ini menyebabkan Al-Zagal mengarah pasukan nya pulang ke Granada untuk bersiap sedia kerana Granada kota yang penting untuk dipertahankan. Namun, bedilan meriam telah menghentam kubu Kota Illora tanpa henti. Tentera Moor Illora yang tinggal mula merasa lemah kerana tidak mendapat sebarang bantuan daripada Granada akhirnya terpaksa menyerah diri. Kota Illora akhirnya jatuh ke tangan Isabella dan Ferdinand di bawah jagaan Gabenor Gonsalvo de Cordoba.

Misi diteruskan dengan mensasarkan kota Malaga. Isabella dan Ferdinand mengarahkan Raja Muhammad untuk memujuk penduduk setempat supaya menyerahkan kota tersebut tanpa syarat. Ridwan Benegas yang menjaga kota Malaga mula hilang keyakinan diri apabia mendapat tahu tentera Granada yang dihantar Al-Zagal terpaksa berundur dan mengharapkan Al-Zagal tetap menghantar bantuan ke Magala. Namun, akhirnya beliau terpaksa berundur dan rakyat Magala menyerah diri tanpa syarat. Raja Muhammad turut dipergunakan untuk memujuk penduduk bandar-bandar lain. Hasilnya, hampir 40 buah bandar menjadi tawanan Isabella dan Ferdinand. Hal ini sekali gus menandakan bahawa penduduk Granada tidak memberi taat setia kepada Al-Zagal, raja baharu Granada selepas kemangkatan abangnya. Tidak  cukup dengan itu, Raja Muhammad XII telah mengutuskan surat kepada raja-raja Katolik dengan memaklumkan bahawa rakyat sudah mula berpihak kepadanya dan berharap perlindungan kepada rakyat yang setia manakala rakyat yang ingkar akan dibakar hidup-hidup. Hal ini telah dipersetujui oleh raja-raja Katolik. Akibatnya, wilayah Granada terbahagi kepada dua iaitu wilayah timur dikuasai Kristian manakala barat dikuasai oleh Islam.

Kota Baza menjadi sasaran seterusnya oleh Ratu Isabella. Tanpa disangka, dalam kekalutan pahlawan Baza iaitu Ali Fahar dan Gabenor Mohammed Hassan, Putera Cid Hiaya (Putera Baza) telah dimaklumkan awal kedatangan Ratu Isabella oleh Raja Muhammad. Rundingan antara Gabenor Mohammed (wakil Islam) dan Komander Leon (wakil Kristian) telah diadakan bagi menutup konspirasi antara Putera Cid Hiaya dan Ratu Isabella. Jaminan telah diberi kepada Gabenor Mohammed dengan dua syarat iaitu menyerah diri dan Ratu Isabella akan menjamin keselamatan nyawa, harta, tanah dan agama anutan. Kedua, sekiranya ingkar, penduduk akan menerima akibat rampasan harta dan diseksa sehingga mati. Pihak Islam tertarik dengan tawaran tersebut namun perlu mendapat persetujuan daripada Al-Zagal. Utusan telah dihantar kepada Al-Zagal dan membawa satu lagi rundingan antara Al-Zagal dan Gabenor Mohammed Hassan di Guadix. Kebijaksanaan Al-Zagal berjaya menghidu konspirasi yang dijalankan. Namun, Al-Zagal menyampaikan pesan kepada Putera Cid Hiaya untuk memutuskan sendiri tindakan seterusnya. Akhirnya, penyerahkan kota Baza ke tangan Ratu Isabella berjaya dilakukan. Kebaikan dan kemewahan pasangan diraja Katolik itu telah memukau Putera Cid Hiaya sehingga sanggup murtad dan berkhidmat bersama mereka. 

Kehancuran Islam Andalusia semakin ke penghujungnya apabila Putera Cid Hiaya berjaya menghasut Al-Zagal dengan tipu helahnya. Putera Cid Hiaya memanipulasi keadaan Al-Zagal yang sudah tidak mempunyai pengaruh politik yang kuat. Baginda memujuk Al-Zagal untuk menyerah diri dan menyakinkan Al-Zagal bahawa dia akan dikurniakan pangkat tertinggi daripada pasangan diraja Katolik itu. Kata-kata mampu mencairkan dan membinasakan diri. Akhirnya, Al-Zagal menyerah diri kepada Ferdinand dan Isabella. Penduduk Almeria tuut menerima kedatangan pasangan diraja Katolik dengan damai. Hampir 10 tahun bermusuhan, Ferdinand dan Al-Zagal berjabat tangan menandakan berakhirnya persengketaan berdarah antara mereka. Justeru, pancang Salib dan panji-panji Castilia berkibar megah di puncak Alcazar sebagai bermulanya era pemerintahan Kristian. Kota Alhambra yang pernah diberikan Ratu Isabella kepada Abu Abdullah turut dituntut semula. Ratu Isabella benar-benar tekad mahu menghapuskan Islam di Andalusia sehingga ke akar umbi. Akhirnya, Kota Alhambra berjaya ditawan dan Abu Abdullah mencatat namanya sebagai Raja Andalusia yang pengecut.

Berakhirnya Islam di bumi Andalusia

Empayar Islam di Andalusia yang teguh berdiri oleh Kerajaan Moor akhirnya jatuh apabila Raja Muhammad XII menyerahkan kota itu secara rahsia kepada raja Kristian sehingga menerbitkan kemarahan rakyat Islam Moor. Perjanjian antara Raja Muhammad XII dan Raja Ferdinand telah menetapkan bahawa penduduk Islam dibenarkan meninggalkan bandar mereka selepas tiga tahun. Namun begitu, Dekri Alhambra telah dikeluarkan oleh Monarki Katolik Sepanyol dengan membuat pengusiran terhadap orang Islam dan orang Yahudi. Tragedi berdarah orang Islam Andalusia bermula apabila Raja Ferdinand dan Ratu Isabella merancang satu pembunuhan beramai-ramai. Orang Islam telah diperdaya oleh Ratu Isabella dengan mengatakan mereka boleh mencari perlindungan di bawah pemerintahan Kerajaan Turki Uthmaniyah dan kapal turut disediakan. Namun sebaliknya yang terjadi apabila kapal-kapal yang membawa mereka  dibakar ditengah laut dan orang Islam ditepi pantai tanpa senjata itu dibunuh dengan rakus dan kejam. Peristiwa ini telah mengemparkan orang Islam di Eropah namun hanya sekadar angin lalu tanpa mampu menghulurkan bantuan.  Kehidupan penduduk Islam yang masih tinggal tidak kurang hebat diuji keimanan mereka apabila dipaksa murtad dan yang ingkar akan dibakar hidup-hidup seperti yang terjadi kepada keluarga Abdul Rahman Aziz, Gabenor Andalusia. Penyeksaan ini turut dipertontonkan dihadap penduduk Islam dan Yahudi sebagai tanda amaran. 

Rumusan

Kehancuran Kota Andalusia adalah disebabkan oleh ketamakan pemimpin-pemimpin akan harta dan kuasa. Mereka lebih memilih untuk berpaling tadah terhadap pemimpin Islam dan bersekongkol dengan pemimpin Kristian walaupun pada akhirnya mereka hanya dipergunakan atas tujuan perluasan kuasa. Pemberontakan dalam keluarga diraja Moor turut menjadi faktor runtuhnya kerajaan ini. Di samping itu, pemimpin yang murtad juga memainkan peranan apabila berjaya menghasut pemimpin Islam dan penduduk untuk menyerah diri tanpa berjuang. Perbalahan ini turut memberi impak kepada rakyat dan penyebab rakyat berpecah belah bagi memberi taat setia terhadap raja mereka. Kesudahannya, umat Islam tidak bersatu padu untuk membantu pemimpin tertinggi mereka dalam usaha melawan tentera Kristian. Peristiwa kehancuran Islam di bumi Andalusia ini harus dijadikan pengajaran kepada umat Islam penting nya bersatu padu dan sepakat dalam usaha menghalang kemaraan musuh yang mampu menghancuran kesucian agama itu sendiri. 

-NNZ-

Rujukan

Abdul Latif Talib, (2014). Runtuhnya Islam Andalusia Pelengkap Kemasyuran Ratu Isabella, PTS Litera Utama SDN BHD.

Abdullatip Blogspot retrieved from 
http://abdullatip.blogspot.com/2013/08/ratu-isabella-dilahirkan-pada-khamis-22.html 

Aziiz Subidyo, Islam di Andalusia (Spanyol).  Retrieved from 
https://www.academia.edu/31497588/ISLAM_DI_ANDALUSIA_SPANYOL 

Comments

  1. Terima kasih , sangat membantu saya dalam memahami peristiwa yang berlaku di andalusia . Semoga , Allah merahmati admin

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts