PENGEBOMAN PEARL HARBOR

Pangkalan armada tentera Amerika Syarikat di Pulau Oahu, Hawaii berhampiran dengan Honolulu pernah diserang secara mengejut oleh pihak Jepun pada 7 Disember 1941. Tentera Udara Jepun yang diketuai oleh Laksamana  Chuichi Nagumo bertolak dari Teluk Hitokappu menuju ke Pearl Harbour tanpa melakukan sebarang hubungan radio untuk memulakan serangan. 

Pada ketika itu, Jepun terlalu optimis untuk meluaskan pengaruh mereka di negara Asia dan yakin akan kebolehan pasukan ketenteraan mereka. Oleh hal yang demikian, Jepun khuatir sekiranya Amerika Syarikat menganggu misi perluasan empayar mereka dan akhirnya membawa kepada serangan provokasi di Pearl Harbour.Umum kita ketahui, pengeboman di Pearl Harbour ini merupakan detik penting dalam sejarah Perang Dunia Kedua di Asia Pasifik. Sejam sejurus serangan di Pearl Harbour, tentera Jepun telah melabuhkan empayar mereka ke kawasan Tanah Melayu iaitu di Kelantan dan seterusnya berjaya menakluk Tanah Melayu dan Kepulauan Borneo. Namun, berdasarkan “international date line”, Kelantan sebenarnya diserang 95 minit awal sebelum Pearl Harbour dibom. Hal ini kerana, perbezaan waktu antara Tanah Melayu yang mendahului Hawaii. Kini, Malaysia mendahului masa selama 18 jam dari Hawaii. 

Namun begitu, disebalik serangan ini adakah Jepun begitu pasti dapat melumpuhkan Amerika Syarikat dan berjaya membawa misi maharaja mereka?. Tindakan drastik Panglima Isoroku Yamamoto dan pasukannya ini ternyata telah mengheret Jepun ke kancah medan pertempuran dan merumitkan lagi hubungan dua hala antara Washington dan Tokyo. 

LATAR BELAKANG

Kerumitan hubungan Jepun dan Amerika Syarikat sudah bermula sejak tahun 1930-an lagi apabila Jepun berjaya menakluk wilayah Utara China, Manchuria yang kaya dengan sumber alamnya. Selang beberapa tahun (1937), China akhirnya jatuh ke tangan Jepun secara keseluruhannya yang turut mencetuskan tragedi pembunuhan Nanking . Tambahan lagi, Jepun turut menjadi sebahagian kuasa Perikatan Axis bersama Jerman dan Itali. Rentetan daripada ini, kuasa barat berada dalam situasi yang meruncingkan kerana kemaraan Jepun ini begitu pantas dan menganggu gugat kedudukan mereka sebagai kuasa besar dunia. 

Lantaran daripada itu, Presiden Roosevelt telah menyekat aktiviti perdagangan dengan Jepun. Seperti yang dijangka, sekatan ini sememangnya memberi impak kepada Jepun apatah lagi untuk meneruskan misi peluasan empayar mereka. Seperti yang kita ketahui, Jepun merupakan negara perindustrian yang memerlukan sumber asli yang banyak terutamanya petroleum untuk menggerakan ekonomi negara mereka. Selain itu, mereka turut memerlukan kawasan yang baru untuk memasarkan hasil perindustrian negara mereka. Tindakan Washington ini sedikit sebanyak membantutkan usaha tersebut. Tambahan lagi, eksport minyak ke Jepun diberhentikan. Justeru, bagi melumpuhkan kuasa Amerika Syarikat, Jepun akhirnya nekad melancarkan serangan ke atas pangkalan laut Amerika Syarikat di Pearl Harbor. Hal ini kerana, President Franklin D. Roosevelt baru sahaja memindahkan armada tentera Laut Amerika dari San Diego ke Pearl Harbor.

PERANCANGAN

Idea serangan Pearl Harbor adalah daripada Laksamana Isoroku Yamamoto dan mengusulkannya kepada Menteri Angkatan Laut Jepun Koshiro Oikawa. Sejak mula bertapak di Asia Tenggara, Jepun sememangnya sudah merancang strategi untuk menyerang Amerika Syarikat. Buktinya, seawal bulan April 1941 lagi, rencana untuk menyerang Pearl Harbor telah dipergiatkan. Latihan peperangan telah bermula pada bulan Mei 1941 di Japanese Naval Staff Collage atas persetujuan Maharaja Jepun sendiri.

Komander Laksamana Chuichi Nagumo telah diperintahkan untuk mengetuai serangan ini. Tidak dapat dinafikan, pasukan risikan Jepun berada di kelasnya yang sendiri. Kehandalan mereka memudahkan lagi serangan ke atas Pearl Harbor. Pada bulan September 1941, Tentera Jepun telah mempersiapkan pasukan mereka dengan latihan maneuver untuk kempen Pearl Harbor. Aspek aset peperangan seperti kapal selam, kapal perang dan pesawat tempur turut diselenggara dengan baik dan teratur. Pada 3 November 1941, Maharaja Jepun telah memberi lampu hijau kepada pasukannya untuk melancarkan serangan Pearl Harbor.

Tanggal 26 November 1941, tanpa menggunakan perhubungan radio (radio silent), pasukan armada tentera Jepun sebanyak 30 buah kapal,  dan 40 pesawat terpedo menuju ke Pulau Hawaii. Arahan serangan Pearl Harbor telah dikeluarkan pada 1 Disember 1941 dan pasukan tentera Jepun berada dalam kedudukan taktik “berselerak”. Keesokan harinya, kod “Daki Gunung Niitaka” telah diterima oleh armada laut Jepun sebagai isyarat untuk melakukan serangan.

Pada 6 Disember 1941, pasukan Jepun telah siap sedia untuk mengisi bahan bakar pada pesawat tempur mereka sebagai persediaan akhir untuk bertempur keesokannya. Hari yang ditunggu akhirnya tiba, pada 7 Disember 1941 pukul 7.48 AM, pusat isyarat Ford Island telah menghantar isyarat amaran “AIR RAID PEARL HARBOR. THIS IS NOT DRILL.” Namun, serangan yang tidak dijangka oleh USA ini tetap mengebom Ford Island dan kawasan sekitarnya antaranya Landasan Kaneohe, Hickam, Bellows dan Wheeler. Panglima Angkata Pasifik AS, Laksamana Husband Kimmel telah menerima pesanan dari angkatan laut Jepun yang mengatakan “This dispatch is to be considered a war warning”.

Serangan ini telah mengakibatkan hampir keseluruhan kekuatan tentera Amerika Syarikat di Pearl Harbor hancur dan Pulau Oahu turut musnah dalam masa hanya 3 jam di tangan tentera Jepun. Kemusnahan ini menyaksikan hampir 2, 403 orang awam dan tentera terkorban manakala 1, 178 cedera. Selain itu, kapal perang dan 188 pesawat Amerika Syarikat turut musnah teruk. 

PASCA PENGEBOMAN PEARL HARBOR

Impak serangan ini telah mengakibatkan Amerika Syarikat mengalami kerugian yang besar terutamanya dalam peralatan perang. Hal ini amat merungsingkan USA kerana ketika itu mereka masih berada dalam kancah peperangan tetapi kapal dan pesawat mereka banyak yang musnah dan rosak. Jepun juga tidak terkecuali untuk mengalami kerugiaan kerana mereka turut kehilangan 29 pesawat yang ditembak jatuh dan 75 lagi rosak.

Dalam jangka pendek, serangan ini nampakya berpihak kepada Jepun apabila mereka berjaya menawan negara Asia Tenggara antaranya Indochina, Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina. Kempen perluasan empayar Jepun begitu mudah selepas serangan Pearl Harbor disebabkan Amerika Syarikat terpaksa menumpukan perhatian terhadap kerosakkan yang berlaku di pangkalan ketenteraan mereka. 

Namun, Amerika Syarikat bernasib baik apabila tiga kapal  tempur mereka iaitu USS Lexington, USS Enterprise, dan USS Saratoga tidak berada di pangkalan Pearl Harbor. President Roosevelt telah mengistiharkan perang ke atas Jepun pada keeseokan harinya. Rentetean itu, sekutu Jepun iaitu German dan Itali turut mengistiharkan perang ke atas Amerika Syarikat tiga hari kemudian.

Jangka panjang serangan Pearl Harbor ini telah menyaksikan seolah-olah Jepun sedang mengali kuburnya sendiri. Jepun diibaratkan sedang membangunkan harimau yang sedang tidur. Mereka sedar berperang dengan Amerika Syarikat umpama berperang dengan seluruh dunia. Tragedi serangan Pearl Harbor sebenarnya membawa malapetaka kepada Jepun kerana menjadi punca kejatuhan empayar Diraja Jepun. Aplikasi strategi yang kurang tepat telah membawa kepada konflik besar kepada Jepun.

Mensasarkan Pearl Harbor sebagai sasaran menjadi satu kesilapan kepada Jepun kerana mengundang kemarahan Washington. Amerika Syarikat pada awalnya menjangkakan Jepun akan menyerang pangkalan mereka di Filipina yang dianggap tidak begitu bernilai. Sekiranya, Jepun mensasarkan serangan ke atas Manila, kemungkinan besar Washington akan menyerahkan Filipina dibawah jagaan Jepun dan Amerika Syarikat tidak akan membalas dendam terhadap Jepun. Hal ini kerana, Washington telah mengamalkan dasar isolasi sebagai dasar luar untuk mengelak daripada terjebak dalam kancah peperangan semula seperti yang terjadi dalam Perang Dunia I.

Kemuncaknya, kegelojohan pasukan empayar Jepun ini terpaksa mengangkat bendera putih pada 9 Ogos 1945 apabila Hiroshima dan Nagasaki musnah oleh akibat serangan nuklear bom atom pihak Amerika Syarikat. Pengguguran “Little Boy” dan “Fat Man” antara letupan yang paling tragis sekali dan menjadi satu-satunya peperangan yang menggunakan senjata nuclear. 

Rujukan:

Atomic Heritage Foundtion, (2014). Attack on Pearl Harbor-1941. Retrieved from 
https://www.atomicheritage.org/history/attack-pearl-harbor-1941

Borneo Oracle, (2015). Pearl Harbour, 7 Disember 1941. Retrieved from 
https://web.facebook.com/BorneoOracle/posts/pearl-harbour-7-disember-1941dalam-beberapa-jam-lagi-iaitu-pada-tanggal-7hb-dise/972878546092363/?_rdc=1&_rdr

Moustapha Abbas, (2017). Pearl Harbor: Kesilapan Utama Jepun. Retrieved from 
https://www.thepatriots.asia/pearl-harbor-kesilapan-utama-jepun/

Comments

Popular Posts