PERANG BADAR

Islam tidak disebar melalui kekerasan dan mata pedang sebaliknya peperangan tercetus disebabkan oleh faktor untuk mempertahankan diri umat Islam setelah diancam oleh musuh. Umum kita ketahui, penyebaran dakwah Rasulullah S.A.W bukanlah mudah. Baginda menempuhi pelbagai rintangan dan tentangan yang hebat daripada kaum musyrikin Quraisy. Gerakan peperangan pada zaman Rasulullah S.A.W dibahagi kepada dua iaitu ghazwah dan sariyah. Ghazwah adalah peperangan yang dipimpin oleh baginda manakala sariyah peperangan yang tidak dipimpin oleh baginda. Sebanyak 27 ghazwah antaranya Perang Badar, Uhud, Khandaq dan Tabuk. Sariyah pula adalah peperangan yang diketuai oleh sahabat-sahabat baginda antaranya Saidina Abu Bakar dan Saidina Ali.

Perang Badar (17 Ramadhan 2 Hijrah)

Perang Badar merupakan perang pertama pimpinan Nabi Muhammad S.A.W yang terjadi setelah umat Islam mula berhijrah ke Madinah. Tercetus ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa iaitu pada 17 Ramadhan 2 Hijrah. Perang Badar berlaku di satu kawasan bernama Lembah Badar yang berada di luar Kota Madinah. Perang ini digelar sebagai ‘perang yang menentukan’ (Ghazwatul Furqan) kerana untuk menentukan pihak yang benar dan salah ketika itu. Mempunyai kekuatan ketenteraan yang sedikit di pihak umat Islam tidak sesekali mematahkan semangat pejuang Islam (al-Badry) untuk menentang Quraisy. Kapasiti tentera Islam adalah sebanyak 313 orang infantri dan kavalri dengan sokongan dua ekor kuda dan 70 ekor unta. Manakala, kapasiti tentera Quraisy dibawah pimpinan Amru bin Hisham (Abu Jahal) adalah sebanyak 1000 orang dengan sokongan 100 kuda dan 170 unta.

Faktor Perang

Sikap permusuhan dan dendam kaum Musyrikin Quraisy antara pendorong utama terjadinya peperangan ini. Mereka sentiasa mencari peluang dan cara untuk menghapuskan umat Islam di Tanah Arab. Hal ini kerana, ekonomi perdagangan mereka terganggu disebabkan kedudukan Madinah sebagai sebuah negara begitu kukuh dan menjadi penghalang urusan perdagangan kaum Quraisy. Kedudukan Madinah antara Kota Mekah menjadi penghalang untuk kaum Quraisy membawa hasil dagangan ke utara Arab (Syam dan Syria).

Kemuncak yang mendorong peperangan ini apabila umat Islam cuba merampas kembali harta harta benda yang pernah dirampas oleh kaum Quraisy sewaktu mereka menetap di Kota Mekah. Umum kita ketahui, umat Islam telah diseksa teruk dan harta perniagaan mereka dirampas oleh kaum Quraisy. Reaksi penentangan dan penidasan kaum Quraisy ini adalah dengan menghalang laluan kafilah-kafilah perdagangan Abu Sufyan bin Harb yang sedang dalam perjalanan balik dari Syam. Nabi Muhammad SAW telah menghantar perisik iaitu Bisbis bin Amru dan Addi bin Abu al-Za’bauntuk meninjau keberadaan kafilah Abu Sufyan. Namun, percubaan umat Islam ini berjaya dihidu oleh Abu Sufyan. Dia telah menghantar Damdam dari Bani Ghifari untuk meminta pertolongan di Kota Mekah. Hasil kepekaan Abu Sufyan akan tindak-tanduk Umat Islam telah berjaya membawa kafilahnya mengikut jalan lain dan selamat sampai ke Kota Mekah.

Namun, tidak bagi Abu Jahal yang menganggap peristiwa ini adalah peluang besar kepadanya untuk memerangi umat Islam. Abu Jahal sendiri mempunyai saham yang besar dalam ekonomi kaum Quraisy dan tindakan umat Islam menghalang kafilah Abu Sufyan ini benar-benar membangkitkan kemarahannya. Kaum Musyrikin Mekah yang sememangnya memusuhi Islamtelah menghantar wakil mereka untuk menyertai pasukan ketenteraan kecuali Bani Adi dan Abu Lahab. Umat Islam bawah pimpinan Rasulullah SAW turut bersiap sedia menuju ke Lembah Badar mempertahankan Madinah dari luar kota.

Proses Perang Badar 

Orang Arab sinonim dengan sikap berani mati dan gagah. Sudah menjadi adat dalam peperangan Arab dimulai dengan proses Al-Mubarazah. Proses ini adalah satu tradisi masyarakat Arab Jahiliah iaitu pertempuran satu lawan satu. Setiap pihak akan menghantar seorang pahlawan mereka untuk bertarung. Proses ini turut berlaku dalam Perang Badar. Bezanya, perang Badar dimulai dengan tiga lawan tiga. Kaum Quraisy telah mewakilkan ‘Utbah bin Rabi’ah, Syaibah dan Walid bin ‘Utbah, manakala pihak umat Islam diwakili oleh Hamzah bin Abdul Mutalib, Ali bin Abu Talib dan Ubaidah Ibnul-Harith. Kesudahannya, nasib-nasib wakil kaum Quraisy mati ditangan perwira Islam. 

Rasulullah S.A.W telah merangka taktik dan strategi untuk memerangi kaum Quraisy. Strategi utama Baginda S.A.W adalah dengan memotivasikan pasukan tenteranya. Umat Islam telah ditarbiyyah oleh Baginda S.A.W bahawa musuh yang memusuhi Nabi Muhammad S.A.W adalah musuh Allah S.W.T. Umat Islam yang gugur kerana memilih jalan jihad ini adalah syahid dan balasannya syurga. Di samping itu, proses permulaan perang iaitu tiga lawan tiga antara strategi Rasulullah. Kesempatan dalam proses ini mesti dilaksanakan iaitu menghapuskan panglima-panglima hebat Quraisy. Strategi ini berhasil apabila penglima Islam berjaya menumpaskan tulang belakang tentera Quraisy. 

Baginda S.A.W juga telah menyusun reformasi tentera Islam berbentuk al-Saf. Tentera Islam dibahagi kepada dua bahagian. Barisan pertama terdiri daripada tentera bertombak dan berperisai manakala barisan kedua tentera bersenjatakan panah dan perisai.Rasulullah S.A.W menggunakan kaedah menunggu musuh untuk mara ke tengah medan perang dan mula menyerang apabila musuh menghampiri pasukan Islam. Baginda turut menyekat sumber air dari sampai ke tentera Quraisy dengan menimbus perigi Badar.

Kekuatan semangat dan sikap bersatu padu umat Islam dalam peperang ini juga harus dipuji apabila mereka tidak hanya inginkan kejayaan memerangi Quraisy tetapi mati syahid turut menjadi cita-cita mereka. Kekuatan iman telah mendorong mereka untuk rasa bertanggungjawab membela dan mempertahanan Islam justeru mengembangkan agama Islam ke serata dunia. Umat Islam turut dibantu oleh tentera-teran Allah (Jibrail menjadi panglima perang)seperti yang tercatat dalam Surah Ali-Imran dan Surah Al-Anfaal. 

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah.” (Surah Ali-Imran:129)

“Bukan kamu yang membunuh musuh-musuh itu, Allah sebenarnya yang membunuh mereka dan ketika engkau memanah bukanlah tanganmu yang memanahnya, tetapi tangan Allah semata-mata.” (Surah Al-Anfaal:17)

Umat Islam telah memperoleh kemenangan dengan berjaya menawan 70 orang kaum Quraisy dan 70 yang lain dibunuh termasuklah Abu Jahal. Tawanan Quraisy dibenarkan untuk menebus diri sebanyak 4 000 dirham setiap seorang. Harta rampasan hasil daripada perang ini telah dibahagi sama rata kepada umat Islam. Satu perlima harta rampasan perang telah  diperuntukkan terlebih dahulu kepada Rasulullah S.A.W dan kaum keluarganya. Anak-anak yatim, fakir miskin dan penuntut ilmu juga tidak ketinggalan merasai kemenangan umat Islam.

Implikasi Perang Badar

Kemenangan perang Ghazwatul Furqan ini secara tidak langsung telah melonjakkan keyakinan baharu kepada umat Islam. Ekonomi umat Islam turut meningkat hasil daripada rampasan harta dan wang tebusan kaum Quraisy. Hal ini telah mengukuhkan ekonomi Islam Madinah selain pembaharuan dalam system pentabiran Madinah. Perubahan dasar politik dan pentabiran ini adalah untuk menyekat penentangan Kaum Quraisy yang masih tidak dapat menerima kekalahan yang memalukan ini. Musuh-musuh Islam mula berwaspada akan kebangkitan Umat Islam dan mula menyusun langkah untuk penentangan seterusnya. Di Madinah, kaum Yahudi Bani Qainuqa’ telah diusir keluar Madinah kerana memperlekehkan kemenangan Islam. Mereka mencabar Rasulullah S.A.W untuk menentang mereka. Hasilnya, mereka telah diusir ke Syam setelah kata sepakat diambil semasa rundingan Rasulullah S.A.W bersama sahabat-sahabat.

Rumusan

Perang Badar menjadi titik permulaan umat Islam untuk menghadapi peperangan yang lebih besar pada masa akan datang. Sikap positif umat Islam semasa Perang Badar harus dicontohi walaupun mempunyai tenaga ketenteraan yang sedikit berbanding tentera musuh. Pertolongan daripada Allah SWT juga antara faktor besar kejayaan umat Islam yang tidak putus-putus memohon pertolongan kepada Nya.

-NNZ-

Rujukan

Ridzuan, ahmad azan & Juraimy Hj. Kadir, Mohd & Mohamed, Hasan Al-Banna & Zain, Aman & Zulkifli Abdul Ghani, Mohamad. (2013). Perang Badar dan Uhud: Satu Analisis Strategi Peperangan dan Pertahanan Nabi Muhammad SAW. 'Ulum Islamiyyah. 10. 31-51. 10.12816/0002860.

Eko Haryanto Abu Ziyad, (2013). Kisah Perang Badar. 
https://d1.islamhouse.com/data/id/ih_articles/single2/id_Kisah_Perang_Badar.pdf

Comments

Popular Posts