PERANG KHANDAQ (AHZAB)

Perang Khandak juga dikenali sebagai Ahzab menjadi pertempuran ketiga umat Islam dalam memerangi musuh Musyrikin Quraisy Makkah. Perang ini tercetus pada tahun 5 Hijrah dalam bulan Syawal setahun selepas Perang Uhud. Perang Khandaq mempunyai keistimewaan kerana kebijaksaan Nabi Muhammad S.A.W dan tentera umat Islam merangka strategi untuk memerangkap pakatan gabungan (Ahzab) Bani Nadhir, kaum Yahudi Madinah. 

Peristiwa bermula apabila ketua Bani Nadhir, iaitu Huyayy bin Akhtab telah pergi ke Makkah untuk bertemu dengan pemimpin Quraisy untuk memerangi Rasulullah S.A.W. Huyayy bin Akhtab dan pengikutnya berusaha mengumpul penduduk yang menyebelahi mereka sehingga ke bahagian timur Semenanjung Arab dan membentuk satu pasukan gabungan. Komplot jahat ini bagaimanapun tidak disertai oleh Bani Amir kerana perjanjian mereka kepada Rasulullah S.A.W. Pakatan gabungan ini berjaya menarik Badwi Najd yang terdiri daripada Bani Ghatafan, Bani Asad, Bani Sulaim, Bani Murrah, Bani Fazara dan Bani Quraizah. Hasil gabungan ini berjaya membentuk tenaga infantri yang besar iaitu seramai 10 000 orang, 600 tentera berkuda dan 1 500 penunggang unta diketuai oleh Abu Sufyan. Pihak tentera Islam pula pimpinan Nabi Muhammad S.A.W pula dianggotai seramai 3 000 orang. 

Faktor Perang Khandaq

Faktor utama tercetusnya perang ini adalah peranan Bani Nadhir sebagai penghasut. Mereka berjaya menambahkan lagi rencah dendam kesumat Quraisy Makkah terhadap umat Islam. Bani Nadhir menyimpan dendam kepada umat Islam kerana perancangan mereka untuk membunuh Nabi Muhammad S.A.W terbongkar dan mereka telah dihalau keluar dari Madinah. Perjumpaan di dalam Kaabah telah berlangsung antara Huyayy bin Akhtab dan Abu Sufyan untuk mengajaknya bergabung dengan bani-bani lain menentang tentera Islam. 

Abu Sufyan bersetuju dengan gabungan ini dan tentera pimpinannya adalah tentera induk dan kaum Quraisy menjadi penyumbang terbesar untuk menyediakan barang keperluan perang. Bani Ghatafan membekalkan pasukan pemanah berkuda diketuai oleh Unaina bin Hasan Fazari. Manakala, Bani Fazara yang diketuai oleh Uyainah bin Hisn membawa 100 ekor unta. Bani-bani lain turun memberi sumbangan ketenteraan untuk peperangan ini. Peranan sebagai penghasut Bani Nadhir ini tidak berlaku di luar Madinah bahkan, mereka juga menghasut Bani Quraizah untuk belot kepada umat Islam dengan menyerang di dalam kota dan melanggar Piagam Madinah yang telah termeterai sebelum ini.

Faktor seterusnya adalah keyakinan Quraisy Makkah untuk menang dalam pertempuran ini setelah menempah kejayaan dalam Perang Uhud. Berbekalkan kekuatan tentera yang banyak menambahkan lagi keyakinan mereka. Quraisy Makkah berasa peperangan kali adalah satu peluang untuk mereka menghapuskan Islam dan membela kepercayaan Wathani (sembah agama bahala).

Strategi Perang Khandaq

Setiap peperangan yang disertai oleh Nabi Muhammad S.A.W mempunyai strategi ketahanan dan pertahanannya tersendiri. Berita gerakkan ketenteraan Ahzab ini disampaikan oleh seorang penunggang kuda dari Bani Khuza’ah kepada Nabi Muhammad S.A.W. Baginda S.A.W telah mengadakan musyawarah dengan umat Islam untuk merangka strategi bernas bagi mempertahanan kota Madinah ekoran tentera musuh yang terlalu besar. Tentera Ahzab dijangka akan tiba ke Madinah dalam masa seminggu dan umat Islam memilih untuk bertahan di Kota Madinah. Allah S.W.T telah mendatangkan ilham kepada seorang sahabat Rasulullah S.A.W iaitu Salman Al-Farisi untuk mengali parit sedalam 3.234 meter di bahagian utara Kota Madinah yang meghubungkan antara Harrah Waqim dan Harrah Al-Wabrah. Cadangan cemerlang Salman Al-Farisi  adalah inspirasi strategi perang Empayar Sasan di Parsi. Strategi ini akhirnya diterima oleh Rasulullah S.A.W dan tentera Islam. Parit sepanjang 12 000 hasta telah dikorek beramai-ramai oleh umat Islam secara bergotong-royong. Mereka bersatu hati dan tenaga untuk membina benteng pertahanan Kota Madinah dalam masa 6 hari. Keadaan muka bumi Madinah yang kaya dengan ladang kurma dan dikelilingi oleh kampung kecil memberi kelebihan kepada tentera Islam kerana faktor ini menyukarkan pihak musuh untuk melaluinya.

Proses Perang Khandaq

Apabila sampai ke Madinah, tentera Ahzab terkejut dengan kehadiran parit besar itu dan mengagalkan usaha tentera berkuda untuk menceroboh masuk ke dalam Madinah. Mereka mengambil keputusan untuk mengepung kota Madinah selama 27 hari dan membina khemah di kawasan luar parit. Pertempuran hanya berlaku dalam melempar lembing,batu dan panah-memanah. Namun, usaha tersebut ternyata tidak berjaya. Tentera Ahzab mula dilanda kebosanan dan lebih membimbangkan mereka kekurangan makanan dan minuman. Bekalan makanan yang tidak mencukupi ini menyebabkan ramai kuda dan unta mati kelaparan dan kehausan. Hal ini menambahkan tekanan kepada tentera Ahzab.  Tentera Islam turut mengalami hal yang sama akibat dikepung terlalu lama.

Keresahan tentera Ahzab ini telah menyebabkan Huyayy bin Akhtab memulakan misi mencucuk jarum hasutannya. Huyayy bin Akhtab cuba memujuk Bani Quraizah untuk menyerang dalam Kota Madinah. Namun, Rasulullah S.A.W terlebih dahulu telah memujuk Bani Quraizah agar tidak mengkhianati Piagam Madinah sekiranya tidak mahu nasib mereka seperti Bani Nadhir dan Bani Qainuqa.

Tentera Islam berada dalam posisi yang genting apabila Bani Quraizah mula menyertai pasukan Ahzab. Di saat inilah, Nabi Muhammad S.A.W melakukan taktik penyamaran untuk melaga-lagakan musuh Islam. Di saat genting umat Islam, Allah S.W.T telah mentakdirkan seorang pemimpin Bani Ghatafan iaitu Nu’aim bin Mas’ud memeluk Islam. Dia menawarkan diri untuk menjalankan misi penyamaran dan bertemu dengan pemimpin Bani Quraizah. Nu’aim bin Mas’ud bertemu dengan Kaab bin Asad (Bani Quraizah) dan mengatakan bahawa tentera Quraisy akan mengkhianati mereka. Selepas itu, Nu’aim bin Mas’ud bertemu pula dengan Abu Sufyan dengan mengatakan Bani Quraizah ingin belot kepada tentera Ahzab. Kedua-dua pemimpin ini percaya akan kata-kata Nu’aim bin Mas’ud kerana dia baru sahaja memeluk Islam dan tidak diketahui oleh tentera Ahzab. 

Rentetan daripada itu, berlaku pertempuran Al-Mubarazah (1 vs 1) diantara Saidina Ali bin Abi Talib dengan pemimpin Quraisy, Amru bin Abu Wud. Kehebatan Saidina Ali bin Abi Talib sebagai penglima Islam tidak dapat dinafikan lagi. Saidina Ali berjaya menumpaskan Amru bin Abu Wud dengan menamatkan riwayat hidupnya. Tentera Bani Makhzum yang cuba menyeberangi parit itu turut dibunuh dan terbunuh. Kekuasaan Allah S.W.T turut melancarkan proses peperangan ini apabila ribut pasir yang maha dahsyat selama tiga hari telah menghancurkan khemah-khemah tentera Ahzab. Pasir dan debu telah menyesakkan kerongkong dan mata tentera Ahzab. Akhirnya, dalam keadaan yang kucar-kacir itu Abu Sufyan mengarahkan pasukan Ahzab berundur ke Makkah. Perang tamat pada 7 Zulkaedah 5 Hijrah dengan kemenangan tentera Islam.

Implikasi Perang Khandaq

Biarpun tentera Islam dilihat hanya menggunakkan taktik tunggu dan tahan dalam Perang Khandaq, perang ini sebenarnya memaparkan pengorbanan dan penderitaan umat Islam. Mereka terpaksa menempuhi hari-hari yang penuh keletihan dan kelaparan akibat dikepung tentera Ahzab. Seramai enam orang syahid termasuk Saad bin Muaz. Saad bin Muaz (kaum Ansar) adalah hakim yang dilantik oleh Rasulullah S.A.W untuk mengadili Bani Quraizah yang pembelot. Selain Saad bin Muaz, Rasulullah S.A.W turut melantik  Saad bin Ubadah untuk menjatuhi hukuman kepada golongan lelaki Bani Quraizah. Mereka dihukum bunuh kerana mengkhianat manakala golongan wanita dan kanak-kanak ditawan.

Di sudut positifnya, polisi ketenteraan Islam mengalami perubahan. Rasulullah S.A.W telah mengubah strategi peperangan tentera Islam. Baginda S.A.W tidak menggunakan taktik menunggu dan bertahan sebaliknya melancarkan serangan terlebih dahulu terhadap musuh-musuh Islam.  Kemenangan ini turut membuka mata pemimpin Arab tentang kehebatan tentera Islam. Walaupun mempunyai infantri yang sedikit tidak sama sekali menjejaskan semangat juang mereka. Hal ini membuktikan kekuatan fizikal tidak mampu mengalahkan kekuatan iman tentera Islam. Pemimpin-pemimpin Quraisy tidak lagi merencana untuk menyerang umat Islam Madinah. Keadaan Tanah Arab kembali aman namun tidak lama kerana tercetusnya peristiwa Hudaibiyah.

Rumusan

Perang Khandaq menjadi satu titik permulaan kepada umat Islam dalam mengembangkan lagi syiar Islam. Selepas kekalahan besar dalam Perang Uhud, umat Islam belajar dari kesilapan dengan tidak mementingkan kebendaan selain iman. Pengorbanan dan kesanggupan umat Islam menggali parit seharusnya dipuji dan dijadikan teladan. Mereka bersatu padu dalam mempertahankan Kota Madinah kerana sedar perpecahan tidak akan memberi keuntungan malahan merugikan. Kebijaksanaan Nabi Muhammad S.A.W dalam mengatasi masalah luaran dan dalaman tentera Islam membuktikan Baginda S.A.W seorang negarawan yang ulung Kota Madinah.

-NNZ-

Rujukan

Ahmad Fadli Ghani, (2018). Menggali Parit Perang Khandak: Permulaan Kemenangan Islam (16 Ramadhan 5). Retrieved from https://berita.pas.org.my/menggali-parit-perang-khandak-permulaan-kemenangan-islam-16-ramadhan-5/

Agung Sasongko, (2017). Strategi Parit Pasukan Muslim di Perang Khandaq. Retrieved from https://www.republika.co.id/berita/dunia-islam/islam-digest/17/02/20/olofaj313-strategi-parit-pasukan-muslim-di-perang-khandaq

Comments

Popular Posts