PERANG UHUD

Perang kedua yang tercatat dalam sejarah Islam ini berlaku pada tahun 11 Syawal 3 Hijrah. Perang ini dinamakan perang Uhud kerana berlaku di kaki Gunung Uhud yang berada di sebelah utara Madinah (6 kilometer dari Masjid Nabawi). Risikan awal telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W oleh Abbas Bin Abdul Mutalib tentang ekspedisi ketenteraan Abu Sufyan ini. Perkhabaran ini telah membawa Baginda S.A.W mengadakan satu musyawarah dengan umat Islam bagi menghadapi musuh dan kata sepakat. Akhirnya, majoriti  umat Islam memilih untuk keluar menghadapi musuh Islam.

Tentera Islam dipimpin oleh Nabi Muhammad S.A.W dengan kekuatan 1 000 orang termasuk seorang wanita bernama Ummu Ummarah. Manakala, tentera Quraisy dipimpin oleh Abu Sufyan bin Harb dengan jumlah 3 000 orang tentera dengan bantuan kabilah arab seperti Kinanah dan Tihamah. Tentera Qurasiy diiringi oleh 3 000 ekor unta, 70 tentera berbaju besi, pasukan wanita, pasukan muzik dan isteri-isteri pembesar Quraisy. Manakala, tentera Islam yang pada mulanya berjumlah 1 000 orang berkurang seramai 300 orang disebabkan oleh Abdullah bin Ubai dan para pengikutnya menarik diri pulang ke Madinah. Mereka dianggap sebagai kaum Munafikin kerana tidak jujur dan pengecut. Hal ini menjadikan jumlah sebenar tentera Islam turun berjihad adalah seramai 700 orang.

Rentetan selepas berlakunya Perang Badar, kaum Quraisy mula memasang strategi baru untuk menebus kembali maruah mereka yang tercalar semasa Perang Badar. Kekalahan yang memalukan itu benar-benar mengugat kedudukan kaum Quraisy dari segi politik dan ekonomi. Kegiatan perdagangan mereka terancam disebabkan laluan perdagangan mereka menuju ke utara Arab dikawal oleh umat Islam. Tambahan lagi, Perang Badar turut menelan kos yang besar bagi untuk memberi bekalan senjata dan upah orang Qurasiy yang sanggup berjuang sehinggakan ada di antara mereka yang menjual seluruh kekayaan untuk peperangan ini.  Selain itu juga, kematian tokoh-tokoh Arab Quraisy turut menjadi faktor tercetusnya peperangan ini. Antara yang masih menyimpan dendam kesumat umat Islam ini adalah Khalid Al-Walid dan Akramah yang menuntut bela kematian bapa mereka iaitu Al-Walid dan Abu Jahal. 

Strategi Perang Uhud

Nabi Muhammad S.A.W telah memilih Gunung Uhud sebagai tempat pertempuran yang kedua. Tentera Islam dibahagi kepada tiga iaitu pasukan pimpinan Mus’ab bin Umiar al-Abdari (kaum Muhajirin), pasukan Asyad bin Hudair (kaum Aus) dan pasukan Al-Hubbab bin al-Munzir (Kaum Khazraj). Faktor geografi kawasan perang yang berbukit ini membolehkan Baginda S.A.W mempamerkan kehebatan pemanah Islam yang diketuai oleh Abdullah bin Zubair. Sebanyak 50 orang pemanah handal Islam telah di posisikan di lereng-lerang bukit. Nabi Muhammad S.A.W sempat berpesan supaya tidak meninggalkan posisi masing-masing sehingga perang diisytihar tamat. Hujan panah yang menyerang tentera Quraisy menyebabkan mereka lari bertempiaran dan meninggalkan senjata serta harta peperangan.

Pada peringkat ini, tentera Islam seharusnya memperolehi kemenangan. Namun, sebaliknya terjadi apabila pasukan Abdullah bin Zubair meninggalkan posisi memanah mereka untuk merebut harta peninggalan perang tentera Quraisy. Hanya tinggal Sembilan orang termasuk Abdullah bin Zubai di lereng bukit Uhud. Tentera Islam yang melanggar pesanan Rasulullah S.A.W itu leka akan harta benda dan yakin kemenangan berpihak kepada mereka. Kesempatan ini telah diambil oleh Abu Sufyan dan Khalid Al-Walid dengan membedal mereka dengan serang balas dari belakang. Tentera berkuda Quraisy mengepung tentera Islam dan berita kematiaan Rasulullah S.A.W turut tersebar. Berita palsu kematian Baginda S.A.W sampai ke tentera Islam sehingga melemahkan moral mereka dan reformasi tentera Islam menjadi kucar-kacir. Walhal, Rasullulah S.A.W sempat berlindung bersama sahabat Baginda. Perang Uhud mencatat sejarahnya tersendiri apabila seorang kaum Quraisy yang bernama  Ubai bin Khalaf melakukan cubaan membunuh Baginda S.A.W. Rasulullah S.A.W terus merejam leher Ubai bin Khalaf dengan tombak sehingga mati. Dia adalah satu-satunya orang yang dibunih oleh Baginda S.A.W. 

Perang Uhud antara perang yang paling sengit dan mencatat sejarah duka bagi tentera Islam. Nabi Muhammad S.A.W sendiri mengalami luka dibahagian muka dan lutut. Bahkan, gigi Baginda S.A.W turut patah akibat terjatuh ke perangkap Abu Amar Al Rahab. Sebanya 70 tentera Islam yang syahid termasuk Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib yang dibunuh oleh Washyi bin Harb. Saidina Hamzah antara panglima Islam yang berani dan telah membunuh dua orang pembesar Quraisy iaitu Utbah dan Saibah. beliau dibunuh secara gerakan sembunyi oleh Washyi dengan menikam lembing sehingga menembusi dadanya. Setelah jasadnya tersungkur, Hindun binti Utbah (isteri Abu Sufyan) telah melapah dada Hamzah dengan mengeluarkan jantungnya. Hindun melepaskan kebenciannya terhadap jasad Hamzah dengan mengigit jantung “Penghulu Para Shuhadah” ini. Keadaan jenazah bapa saudara Rasulullah S.A.W ini amat memilukan hati Baginda S.A.W. Diriwayatkan, jenazah para shuhadah dikebumikan dengan pakaian perang.

Impikasi Perang Uhud

Kekalahan tentera Islam dalam Perang Uhud adalah berpunca daripada sikap lalai umat Islam itu sendiri. Mereka ingkar akan arahan Rasulullah S.A.W yang melarang mereka lari dari posisi masing-masing ketika perang sama ada kalah mahupun menang. Di samping itu, reformasi ketenteraan juga kucar-kacir apabila berita palsu kematian Baginda S.A.W tersebar sehingga menganggu emosi tentera Islam. Imej Islam mula merosot malahan kaum Yahudi dan Munafikin Madinah mula memberi provokasi. Mereka sering mempersoalkan perjuangan umat Islam di medan tempur. Tujuannya adalah untuk melemahkan semangat dan perjuangan tentera Islam. Kaum Musyrikin Mekah pula mula menunjukkan taring mereka kembali untuk menganggu dakwah Islam. Bahkan, turut berani membunuh utusan pendakwah. Antaranya, 70 utusan pendakwah Islam dibunuh di Bir-Mauna. Selain itu, mereka turut membunuh dan menjual para pendakwah yang dipohon oleh Kabilah Hudhail.

Kesan bagi pihak tentera Quraisy pula sudah semestinya keyakinan mereka kembali berkobar-kobar untuk menghapuskan Islam. Mereka yakin umat Islam masih lagi goyah dan kekalahan ini akan melumpuhkan terus semangat umat Islam. Walaupun menang peperangan kali ini masih tidak mampu untuk memuaskan hati kaum Quraisy kerana target utama mereka mahu membunuh Rasulullah S.A.W. Mereka berani mencabar kembali Nabi Muhammad S.A.W dengan pertempuran sekali lagi di Lembah Badar bawah seliaan Abu Sufyan. Nabi Muhammad S.A.W menyambut baik dan menunggu di Lembah Badar namun bala tentera Abu Sufyan berpatah balik ke Makkah. Peristiwa ini memberi impak positif kepada imej pasukan Islam selepas kekalahan perang Uhud. 

Rumusan

Perang Uhud menjadi sejarah luka buat umat Islam dengan mencatatkan bilangan perjuang yang paling ramai terkorban. Tragedi di Uhud banyak memberi pengajaran kepada tentera Islam supaya sentiasa mematuhi arahan pemimpin dan tidak mementingkan aspek kebendaa. Walaupun mengalami kekalahan yang teruk, dari segi spiritual umat Islam masih lagi teguh akan perjuangan Islam. Harus dilihat dari sudut hikmah kepada tentera Islam kerana mereka dapat melihat siapa sebenarnya kawan dan lawan dalam perjuangan mereka. Hikmah ini memberi pengertian yang besar kepada umat Islam untuk mengenal musuh dalam selimut.

-NNZ-

Rujukan

Ridzuan, ahmad azan & Juraimy Hj. Kadir, Mohd & Mohamed, Hasan Al-Banna & Zain, Aman & Zulkifli Abdul Ghani, Mohamad. (2013). Perang Badar dan Uhud: Satu Analisis Strategi Peperangan dan Pertahanan Nabi Muhammad SAW. 'Ulum Islamiyyah. 10. 31-51. 10.12816/0002860.

Fariq Al-Faruqie, (n.d). Perang Uhud. Retrieved from 
https://www.academia.edu/11838756/Makalah_perang_Uhud

Abdul Latip bin Talib, (2012). Perang Uhud. Retrieved from 
https://pts.com.my/buku/perang-uhud/

Utusan Online, (2010). Bicara Agama: Kematian Saidina Hamzah. Retrieved from 
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

Comments

Popular Posts