SULTAN MUHAMMAD II AL-FATEH

“ Konstantinople akan ditakluk oleh orang Islam. Raja  (yang menakluk) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluk) adalah sebaik-baik tentera.” (Hadith direkodkan oleh Imam Ahmad)

Hadith diatas pernah dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W ketika baginda menceritakan kehebatan Kota Rom Byzantine (Konstantin) semasa perang Khandaq (627 Masihi). Ketika itu, baginda sedang memukul batu yang menghalang kerja penggalian parit. Pecikan api yang terhasil telah memberi gambaran peristiwa yang bakal berlaku di Konstantinople (kini dikenali sebagai Istanbul). Kempen peperangan Byzantine bermula sejak zaman Rasulullah S.A.W masih hidup dan diteruskan oleh sahabat baginda iaitu Muawiyyah Bin Abi Sufyan. Usaha menawan kota Konstantinople dilanjutkan sehingga zaman Kerajaan Turki Uthmaniyyah memerintah daulah Islam. Konstantinople harus ditawan bagi memperluaskan dan menegakkan syiar Islam. Antara tokoh  Islam yang meneruskan kempen ini adalah ayahanda kepada Sultan Muhammad Al-Fateh iaitu Sultan Murad II.

Kelahiran Penakluk Konstantinople.

Putera ketiga kepada Sultan Murad II dan Huma Hatun dilahirkan pada 29 Mac 1432 di Edirne Sarayi. Penakluk tersohor Konstantinople ini bernama Sultan Muhammad II, Mehmed II atau Muhammad Al-Fateh. Nama Muhammad dipilih sempena dengan nama Rasulullah S.A.W dan datuknya, Muhammad Celebi. Manakala, Al-Fateh pula sempena dengan alunan suara ayahandanya mengalun surah Al-Fath untuk menenangkan diri ketika bonda sedang melahirkannya. Al-Fateh menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Amasya bersama ibunya ketika berusia tiga tahun. 

Ketika berusia enam tahun (1437), baginda telah dilantik menjadi Gabenor Amasya mengantikan Ahmed bin Murad, abang sulung tirinya yang mati dibunuh. Walaupun usia baginda dilantik masih mentah, Sultan Murad telah mengarahkan senior kanan untuk memantau dan menasihati Al-Fateh dalam urusan pentadbiran. Semasa tahun 1439, Sultan Murad berjaya menawan Hungary dan Ionina, Greece. Justeru, baginda memanggil Al-Fateh dan abang tiri keduanya pulang ke Erdirne bagi menggumumkan perpindahan kawasan pentabdiran. Muhammad Al-Fateh telah dilantik menjadi Gabenor Manissa, manakala abang tirinya Alauddin Ali menjadi Gabenor Amasya. Sultan Murad mahu kedua anaknya belajar dan merasai pengalaman pemerintahan di kawasan yang baru. 

Al-Fateh mendapat pendidikan yang mencukupi dari segi spiritual dan intelektual dengan ilmu agama dan peperangan oleh Sheikh Aq Shamsuddin. Selain itu, pendekatan rotan turut digunakan dalam mendidik Al-Fateh. Sultan Murad juga telah menghantar seorang ulama yang disegani dari Bursa (Mollan Goran) untuk mengajar Al-Quran. Baginda telah mampu menghafal Al-Quran dalam masa yang singkat. Al-Fateh juga digambarkan sebagai seorang yang tawadduk, warak dan pencinta ilmu. Buktinya, Al-Fateh dikatakan tidak pernah meninggalkan solat wajib, tahajjud dan rawatib sejak baligh sehingga meninggal dunia.Tidak hairanlah baginda juga mahir menguasai lima bahasa antaranya Latin dan Greek.Di samping itu, baginda mahir dalam ilmu matematik, sains dan ketenteraan. Taktik dan strategi peperangan yang diatur dikatakan melangkaui zamannya. 

Pemerintahan Sultan Muhammad II Al-Fateh.

Muhammad Al-Fateh ditabalkan menjadi sultan ketika menginjak usia 12 tahun selepas kematian kedua-dua abang tirinya. Sultan Muhammad II Al-Fateh menjadi sultan ketujuh dalam pemerintahan Kerajaan Turki Uthmaniyah. Urusan pentadbiran baginda dipantau oleh perdana menteri Halil Pasya. Kota Konstantinople menjadi agenda utama dalam polisi pemerintahan baginda. Menyelusuri tahun kedua pemerintahan Sultan Muhammad mencatatkan permulaan yang tidak baik apabila perdana menterinya sendiri berasa tergugat akan kedudukannya dalam pentadbiran negara. Hal ini kerana, Sultan Muhammad telah mengusulkan pelan awal penaklukan Konstantinopel dan usul tersebut dibantah oleh Hilal Pasya. Pemberontakan Yenissari telah berlaku pada April 1446 apabila Hilal Pasya memainkan sentimen isu gaji yang sering tertunggak. Yenissari merupakan pasukan infantri elit Kerajaan Uthmaniyah. Selain itu, pasukan ini juga bertanggungjawab dalam melindungi sultan dan menjaga kedamaian rakyat antara Islam dan bukan Islam. Peristiwa ini telah membawa Sultan Muhammad pulang ke Edirne.

Sultan Murad II kembali memerintah Uthmaniyah. Ketika Perang Kosova 2, Sultan Murad II telah memerintah Al-Fateh untuk membaiki reputasinya sebagai pemerintah. Al-Fateh telah dilantik menjadi komander perang Uthmaniyah dan berjaya mengalahkan Hungary. Pada tahun 1451, Sultan Murad II telah mangkat pada usia 47 tahun. Berita kemangkatan baginda dirahsiakan bagi memudahkan Al-Fateh pulang ke Edirne dengan selamat. Tanggal 18 Februari 1451, Muhammad Al-Fateh dilantik secara rasmi sebagai sultan kerajaan Uthmaniyah. Pelantikan ini telah membuka kembali perjuangan asal baginda untuk menakluk Kota Konstantinople. 

Kepungan 54 Hari Konstantinople.

Raja-raja Kristian Eropah gembira apabila dikhabarkan berita kemangkatan Sultan Murad II. Mereka beranggapan putera Sultan Murad II seorang yang lemah dalam  pentadbiran dan pertahanan kerajaan. Tidak cukup dengan itu, mereka turut memperlekehkan peribadi Al-Fateh dengan mengatakan baginda seorang pengeccut dan penakut. Hal ini kerana, baginda telah menjalin perjanjian damai dengan Serbia dan Venice. Sultan Muhammad II sedar perjanjian damai ini akan memberi keuntungan kepada kerajaan Turki Uthmaniyyah memandangkan isu-isu kritikal yang melanda politik Eropah. Baginda digambarkan seorang yang sangat teliti dan tidak terburu-buru dalam melaksanakan urusan pemerintahan. Justeru, garis masa yang sesuai ini menjadi pemangkin kepada Sultan Muhammad II dalam mengatur strategi menyerang Empayar Rome Byzantine. Tambahan lagi, perbalahan antara mazhab Ortodoks dan Roman Katolik di Vatikan juga memudahkan usaha penaklukan Konstantinople. 

Turki Uthmaniyyah memulakan kempen penaklukan pada tahun 1453 seramai 150,000 hingga 200,000 bala tentera. Sultan Muhammad II Al-Fateh telah mengepung Kota Konstantinople yang telah berada dalam cengkaman Empayar Rome Byzantine sejak 330 Masihi. Penduduk Konstantinople mula berasa gusar dan berputus asa apabila Sultan Muhammad II telah memindahkan 70 kapal  yang menjadi pelindungan kubu Konstantinople. Berbekalkan senjata meriam yang sophisticated, kubu pertahanan kota Konstantinople akhirnya runtuh. Sultan Muhammad II bersama bala tenteranya berjaya memasuki perkarangan Konstantinople. Banyak pembaharuan yang dilakukan oleh baginda, antaranya menukar Gereja Haghia Sophia menjadi Masjid Haghia Sophia dan mengampunkan penduduk dan wazir yang memberi taat setia kepada baginda. Akhirnya, pada usia 21 tahun Sultan Muhammad II Al-Fateh berjaya menakluk Kota Konstantinople dan turut menukar nama kota tersebut sebagai Istanbul.

Peristiwa ini memberi tamparan besar kepada Kristian Eropah yang sebelum ini merendahkan kredibiliti baginda sebagai seorang pemerintah. Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak Kristian Eropah antaranya melancarkan perang Salib dengan Turki. Namun tergendala akibat pepecahan orang Kristian. Aspek ekonomi turut memberi impak kepada kerajaan Kristian kerana hasil dagangan mereka di Konstantinople, Albania dan Greek telah dirampas. Rentetan daripada itu, kerajaan Kristian telah memperkukuhkan aspek keselamatan kota yang masih berada digengaman mereka. 

Ekspedisi ketenteraan kerajaan Turki Uthmaniyah tidak terhenti di Konstantinople apabila baginda mengarahkan pasukan tentera menawan Serbia, pulau-pulau Aegean dan koloni Genoese. Di samping itu, baginda turut berjaya menawan kota Athens dan Trebizond sehingga digelar “Penguasa antara dua benua dan lautan”. Kehebatan baginda dalam penaklukan begitu terserlah sehingga beliau disamakan seperti Alexander the Great dan setaraf Sultan Salahuddin AL-Ayubi (Panglima Perang Salib) dan Sultan Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz (Pahlawan Peran Ain Jalut).

Kemangkatan Sultan Muhammad II Al-Fateh.

Sultan Muhammad II Al-Fateh mangkat pada  3 Mei 1481 ketika berusia 49 tahun. Baginda telah diracun Maesto Jakopa, seorang bangsa Yahudi ketika membuat persiapan menakluk Rhodesia. Semasa hayatnya, baginda telah memerintah lebih 25 negeri dengan cemerlang dan gemilang. Takhta baginda telah diwariskan kepada Sultan Bayazid II Han.

Rumusan.

Di usianya yang masih muda belia iaitu 21 tahun telah mampu memimpin berpuluhan ribu tentera untuk menakluk Kota Konstantinople. Baginda optimis melaksanakan tugas yang telah dimulakan. Kebijaksanaan baginda juga harus dipuji dalam usaha menrangka strategi penyerangan dan menawan kota-kota bawah jajahan Rom Byzantine. Sejarah memihak kepada baginda, apabila hadis masyhur Rasulullah S.A.W berkenaan kota Konstantinople merujuk kepada Al-Fateh. Sebaik-baik penakluk dan sebaik-baik tentera. Syiar Islam berjaya ditegakkan di bumi Allah apabila baginda menundukkan kuasa Empayar Rom Byzantine. 

-NNZ-

Rujukan

Muhammad Syaari Abdul Rahman, (2014). Berfikir Gaya Al-Fateh. PTS Millennia SDN BHD.

Muhd Nur Iman Ramli, (2015). Dracula vs Al-Fateh. PTS Millennia SDN BHD

Haziq Azhar, (2018). Riwayat Hidup Sultan Muhammad Al-Fateh: Pembuka Konstantinopel. Retrived from https://www.thepatriots.asia/riwayat-hidup-sultan-muhammad-al-fateh-pembuka-konstantinopel/ 

Ekrem Buğra Ekinci (2015). The history of fratricide in the Ottoman Empire – Part 1. Daily Sabah. Retrived from  https://www.dailysabah.com/feature/2015/08/07/the-history-of-fratricide-in-the-ottoman-empire–part-1

Abdul Latip bin Talib, (2014). Sultan Muhammad al-Fateh - Penakluk Konstantinopel. Retrived from https://pts.com.my/buku/sultan_muhammad_al_fateh/

Comments

Popular Posts