SULTAN SALAHUDDIN AL-AYUBI

Salahuddin Abu Muzaffar Yusuf bin Ayyub bin Shadi dilahirkan di Tikrit (Iraq) pada tahun 543 Hijrah. Nama honorifik beliau iaitu Salahuddin bermaksud kebaikan atau kebenaran agama. Mempunyai kerumitan dalam nama, beliau akhirnya lebih dikenali sebagai Saladin. Keluarganya berasal dari Azarbaijan yang berketurunan Kurdis. Bapa beliau, Najmuddin Ayyub merupakan seorang Gabenor Tikrit yang dilantik oleh Khalifah Al-Mustarshid kerana mempunyai kepakaran dalam bidang pentadbiran dan diplomasi.

Salahuddin dibesarkan dalam masyarakat Islam Sufi yang mementingkan kehidupan rohani dan mencari keintiman dengan Tuhan. Pendidikan Salahuddin sama seperti anak-anak orang Kurdis yang mementingkan ilmu-ilmu sains, agama, pertahanan dan ketenteraan. Oleh hal demikian, beliau telah dilatih oleh bapa saudaranya, Asaduddin Shirkuwah dengan ilmu ketenteraan dan ilmu agama oleh ayahnya sendiri. Semangat jihad sudah mula tertanam ketika kecil lagi. Salahuddin melalui kehidupan seperti biasa dan tidak menunjukkan tanda-tanda kemasyhuran sehingga menginjak dewasa.

Seawal usia enam tahun, beliau mendapat pendidikan awal di Baalbek dan Damsyik, Syria apabila bapanya di lantik sebagai Gabenor Baalbek. Semasa di Baalbek, beliau telah mempelajari Al-Quran dan Hadith. Beliau turut menunjukkan minat yang mendalam untuk mempelajari prinsip Islam terhadap Kristian dan Yahudi. Salahuddin juga mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam sastera Arab dan mampu mengingati ayat-ayat Al-Quran. Salahuddin mahir menunggang kuda dan mengikuti jejak ayah dan bapa saudaranya berkhidmat dalam tentera. 

Ketika menjengah usia dewasa, Salahuddin berhijrah ke Mesir bersama pasukan tentera bapa saudaranya. Pada mulanya, beliau agak keberatan untuk meninggalkan Allepo kerana ketika itu Allepo turut menerima ancamann tentera Salib. Namun begitu, Mesir lebih memerlukan tenaga ketenteraan kerana tentera Almaric, Raja Jerusalem sudah bersedia untuk menyerang Mesir dan Iskandariyah. Salahuddin akur dan pergi ke Mesir untuk menyahut panggilan jihad. Setibanya, di Mesir beliau meninggalkan dunia keseronokan dan hidup mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Di bumi Mesir inilah, bintang Salahuddin bersinar terang khususnya dalam bidang ketenteraan. Beliau mahu dirinya menjadi teladan dan mula menyusun atur kehidupannya secara berdisiplin dan sederhana. 

Karier Kepimpinan

Salahuddin memulakan kariernya sebagai amir (ketua) Sultan Nuruddin Mahmud Zanky. Beliau amat mengagumi Sultan Nuruddin dan menjadikannya sebagai mentor. Ekspedisi ketenteraan di Mesir yang diketuai oleh Asaduddin ini telah menyerlahkan prestasi Salahuddin. Mereka berjaya menghalang tentera salib menyerang Mesir dan Istana Kerak yang menganggu pedagang Muslim. Hal ini kerana, kehadiran tentera Salib telah menghalang hubungan dua hala antara Mesir dan Syria. Kejayaan tentera pimpinan Asaduddin ini sangat menggembirakan Sultan Nuruddin dan melantik Asaduddin menjadi Perdana Menteri Mesir. Perlantikan ini telah dibantah oleh Shawar, bekas perdana menteri Mesir yang pegecut kerana lari dari Mesir semasa kemaraan tentera Salib. Shawar telah bersekongkol dengan Reinald de Chatillion untuk menyerang Khalifah Al-Adhid dan Asaduddin.  

Prestasi yang cemerlang dalam ketenteraan telah melayakkan Salahuddin menjadi ketua panglima angkatan tentera Islam. Mesir kini diterajui oleh orang-orang hebat yang mampu mengetarkan musuh Islam. Rentetan itu, Reinald de Chatillion mula berasa cuak dan mengutus surat untuk mendedahkan agenda tersembunyi Shawar. Salahuddin telah diarahkan untuk membunuh Shawar dan pengikut setianya. Jawatan perdana menteri yang dipegang oleh Asaduddin bertahan selama dua bulan apabila beliau ahirnya dijemput Illahi. Majlis Musyawarah telah diadakan oleh Khalifah Al-Adhid bagi memutuskan perdana menteri yang baharu. Tanpa sebarang bantahan, Salahuddin Al-Ayubi telah dilantik menjadi perdana Menteri Mesir. Salahuddin memegang dua portfolio dalam politik Mesir dan turut menimbulkan tidak puas hati kepada pembesar lain. 

Kredibiliti kepimpinannya terserlah semasa menjadi perdana menteri. Kebajikan rakyat terbela dan banyak pembaharuan yang disuarakan dan diaplikasikan Salahuddin. Buktinya, kutipan zakat diagih kepada fakir miskin dan elaun turut diberikan kepada orang tua dan kurang upaya. Golongan petani turut mendapat tempias apabila Salahuddin menyerahkan semula tanah yang pernah dirampas oleh pemerintah sebelumnya. Salahuddin turut mengurangkan elaun dan hadiah kepada pembesar-pembesar Mesir bagi membolehkan pembayaran kepada golongan tidak bernasib baik ini.  Keprihatinan ini telah menambahkan keyakinan rakyat kepada Salahuddin.

Hal ini bagaimanapun tidak digemari oleh Najah. Najah merupakan seorang penasihat khalifah yang bertindak sebagai ketua pengawal istana. Sejak dari mula lagi, Najah tidak bersetuju atas perlantikan Assaduddin dan Salahuddin yang memegang jawatan penting dalam politik Mesir. Najah sedar kebebasannya dalam menghabiskan duit pembendaharaan negara akan berakhir dengan perlantikkan pemimpin berkaliber ini. Justeru, Najah mengadu perkara ini kepada Khalifah Al-Adhid malangnya, ditentang. Najah berasa marah kerana usul nasihatnya tidak diendah dan berazam ingin menyingkirkan Salahuddin dari pentadbiran Mesir. Najah beranggapan bahawa Salahuddin akan meruntuhkan Kerajaan Bani Fatimiyyah yang berfahaman Ismailiyah (Syi’ah). Jadi, dia telah merancang untuk bersengkokol dengan tentera Salib menawan Mesir. Namun tidak berjaya apabila dia didapati meninggal dunia.

Konflik

Kematian Najah ternyata mencetuskan kemarahan orang Sudan dan menuduh Salahuddin yang membunuhnya. Dibawah pimpinan Zabar (adik Najah), satu gerakkan ketenteraan telah dirancang bersama tentera Salib untuk menyerang Mesir.  Perkhabaran kedatangan orang Sudan dan tentera Salib sampai ke Salahuddin dan Khalifah Ahid. Mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam ketenteraan membolehkan Salahuddin merangka strategi untuk memerangkap tentera Sudan. Tentera Mesir dianggotai 100 000 ribu tentera yang turut di ketuai oleh Panglima Syamsuddin (abang Salahuddin) untuk menghadapi 50 000 tentera Sudan. Salahuddin membahagikan bala tentera kepada sepuluh infantri dan kavalri yang dianggotai 10 000 ribu orang dengan seorang panglima. Di pihak tentera Salib pula sudah bersedia untuk menyerang Kota Dimyat. Namun, tentera Mesir berjaya menghalang Kota Dimyat daripada diceroboh.

Selesai menumpaskan orang Sudan, Salahuddin dan tentera Mesir bergerak ke Kota Dimyat dan sempat meminta bantuan kepada Sultan Nuruddin. Salahuddin membahagikan tentera Mesir kepada dua pasukan yang diketuai oleh Panglima Syamsuddin. Mereka menujuk ke Kota Dimyat melalui Sungai Nil. Kebijaksanaan kedua pemimpin Islam ini terserlah apabila Sultan Nuruddin bijak membaca gerakan tentera Salib yang akan meninggalkan kota Syam kosong semata-mata untuk menyerang Kota Dimyat. Sultan Nuruddin telah menghalakan pasukan tenteranya menuju ke Syam untuk menakluk Syam tanpa sebarang tentangan.Telahan nya tepat apabila Sultan Nuruddin berjaya memasuki Syam sekali gus melunturkan semangat tentera Salib yang kehilangan kawasan jajahan. Reinald de Chatillion akhirnya berundur ke Kota Dimyat yang telah dikepung selama 50 hari. Tentera Salib yang kecewa itu membawa diri ke Baitulmaqddis. Kota Mesir akhirnya kembali aman.

Pemberontakan orang-orang Sudan telah membawa pembaharuan sekali lagi dalam politik Mesir apabila Salahuddin melakukan pembersihan  dalam pentadbiran. Pembesar dan pegawai veteran ditamatkan perlantikan dan diganti dengan golongan muda yang berpelajaran tinggi dan berfahaman Ahli Sunah Waljamaah. Alasannya, pegawai kerajaan yang berfahaman syiah enggan memberi kerjasama dalam pertarungan lepas dan mereka turut tidak memberi sumbangan apa-apa dalam negara selain membazirkan duit negara.

Konflik yang dihadapi oleh Salahuddin tidak berhenti di sini apabila  kematian mengejut Khalifah Adhid. Pembesar dan pegawai Mesir yang baru telah bersetuju melantik Salahuddin sebagai Khalifah Mesir. Perlantikannya ini ternyata mengundang iri hati bekas pembesar Mesir dan mula menfitnah Salahuddin membunuh Khalifah Adhid. Golongan bekas pembesar Syiah ini mula merencana menghancurkan Salahuddin. Mereka merancang untuk menyerang dengan tentera Salib. Apabila tentera Salib tiba di Mesir, Salahuddin sudah pasti akan memimpin pasukannya untuk bertahan. Mereka merancang mahu melakukan pemberontakan dan merampas kuasa dari dalam kota Mesir. Zainudin Ali merupakan perisik Salahuddin yang melaporkan segala maklumat pemberontakan. 

Hasil risikan Zainudin Ali, Salahuddin telah menghantar abangnya untuk memberkas golongan pemberontak di Aswan. Mereka akhirnya berjaya ditangkap. Namun, segelintir daripadanya berjaya melepaskan diri dan menghadap Sultan Nuruddin di Allepo. Mereka telah memutar belitkan keadaan di Mesir dengan menfitnah kekejaman Khalifah Salahuddin. Sultan Nuruddin termakan hasutan tersebut dan mahu menangkap Salahuddin.

Titik sejarah bermula apabila berlaku pertempuran sesama tentera Islam antara Salahuddin dan Nuruddin walaupun pada awalnya pertempuran ini dielak oleh Salahuddin. Ketangkasan tentera Mesir bawah pimpinan Salahuddin berjaya mengalahkan Nuruddin dan perjanjian perdamaian turut termeterai dengan syarat Mesir tidak lagi berada dibawah naungan Sultan Nuruddin. Rentetan daripada itu, Salahuddin akhirnya ditabalkan dengan menjadi Sultan Salahuddin bin Al-Ayubbi setelah mendapat pengiktirafan daripada khalifah Abasiyah. Pengaruh Sultan Salahuddin terus berkembang sehingga membentuk Dinasti Ayyubi dengan penyatuan Mesopotamia, Syria, Libya,Yaman, Mesir dan Semenanjung Tanah Arab.

Menuju ke Baitulmuqaddis

Baitulmaqis pernah berada dalam naungan pemerintah Islam pada zaman Khulafa ar-Raysidin iaitu Khalifah Umar al-Khattab.  Perpecahan yang berlaku terhadap umat Islam menyebabkannya jatuh ke tangan orang kafir. Sultan Salahuddin telah memperbesarkan dan mempersiapkan pasukan tentera Mesir untuk menggempur tentera Salib. Salahuddin telah menubuhkan satu pasukan ketenteraan yang baru iaitu tentera laut yang akan berpangkalan di Iskandariah dibawah pimpinan Panglima Syamsuddin. Iskandariyah merupakan satu kawasan yang strategik untuk dijadikan perlabuhan dan pusat ketenteraan Islam. Golongan muda yang berminat untuk berjihad direkrut menjadi tentera laut dan persiapan senjata seperti kapal perang turun dibina. Pemberontakan yang kerap berlaku sedikit sebanyak meresahkan hati Salahuddin. Sebagai ikhtiar, Salahuddin telah membina benteng-benteng pertahanan untuk melindungi kota Mesir kerana tentera Mesir selalu berada di luar kota.

Kembara pertama ketenteraan Mesir menuju ke Baniyas. Salahuddin telah mengarahkan Panglima Muluk untuk mengetuai 20 tentera menjalankan kerja pengintipan.  Baniyas menjadi sasaran tentera Islam untuk menghalang bantuan orang Eropah kepada tentera Salib yang berada di Palestin. Hal ini kerana, Baniyas dijadikan sebagai perlabuhan untuk menurunkan tentera Salib. Tambahan lagi, kedudukan Baniyas yang berhampiran laut membuatkan orang ramai jarang melaluinya kerana lebih memilih jalan tanah rata. Strategi ini diinspirasi dari kepimpinan Rasulullah S.A.W. dalam peperangan iaitu menyembunyikan pergerakan pasukan tentera dan tempat yang hendak diserang. Ternyata, apa yang diajar Rasulullah S.A.W dan dipratikkan oleh Salahuddin memperoleh kemenangan apabila mereka berjaya menyerang Baniyas yang menjadi kubu kuat tentera Salib secara mengejut. Lebih menggembirankan lagi, tentera Mesir berjaya menahan 300 pegawai tertinggi tentera Salib.

Berita penawanan Baniyas ini cukup mengkucar-kacirkan kuasa-kuasa besar Eropah termasuk pemimpin tertinggi mereka. Apatah lagi, penawanan kota sedikit demi sedikit oleh Salahuddin antaranya Sirda, Majdal dan Asqalan sebelum menuju Baitulmuqaddis. Penaklukan Salahuddin menjadi semakin besar dan berkuasa. Akhirnya, perjanjian damai termeterai antara Salahuddin dan Reinald de Chatillion yang memutuskan genjatan senjata selama 3 tahun. Namun, perjanjian tersebut dilanggar sendiri oleh Reinald de Chatillion yang memimpin tentera Salib menyerang Allepo selepas kematian Sultan Malikul Saleh. Reinald de Chatillion dihasut oleh seorang puak Syiah Ismailiyyah yang merancang rampasan kuasa dalam Allepo. Susulan daripada itu, Salahuddin yang menerima berita ini segera mengarahkan 1000 kavalri ke Allepo. Reinald de Chatillion mula cuak dan mengundurkan tentera Salib. Justeru, dengan mudah Allepo berada dalam kuasa tentera Mesir. Selain itu, Salahuddin turut berjaya menguasai daerah di Sungai Eufrat dan Syam.

Ekspedisi Ketenteraan Menuju Makkah dan Madinah

Rentetan peristiwa ini, mengundang tidak puas hati Reinald de Chatillion dengan penaklukan Salahuddin yang melanggar perjanjian damai walhal dia sendiri yang memulakan gerakkan ketenteraan.  Sikap zulmat yang ada pada diri Reinald de Chatillion ini mahu menghapuskan agama Islam dengan penakluk ketiga-tiga masjid suci Islam iaitu Masjidil Aqsa, Masjidil Nabawi dan Masjidil Haram. Makkah dan Madinah menjadi sasaran utama tentera Salib dalam ekspedisi kali ini dan merancang pergi melalui Hijaz. Seorang tentera Salib yang bernama Philip telah menyampaikan hasrat terkutuk Reinald de Chatillion kepada Salahuddin. Philip merupakan tawanan yang pernah ditangkap oleh tentera Mesir dan mengatakan niat untuk memeluka Islam dihadapan Salahuddin. Rancangan Reinald de Chatillion ini menaikkan darah Salahuddin dan mengerah pasukan tenteranya ke Hijaz.

Strategi mula dirangka oleh pahlawan-pahlawan Islam untuk mempertahankan  Kota Makkah dan Madinah. Panglima Muluk telah mengusulkan satu strategi untuk mengali parit besar di sekitar Taimuk. Parit ini dijadikan sebagai kubu pertahanan untuk menyekat kemaraan tentera Salib pergi ke Hijaz. Pemanah Islam yang cekap juga ditempatkan di sekitar batu-batu besar berhampir parit tersebut untuk menyerang hendap musuh Islam. Kerja pembinaan parit telah diketuai oleh Panglima Muluk sendiri. Startegi parit ini pernah digunakan semasa perang Ghazwah Rasulullah S.A.W iaitu Perang Khandaq. Hasilnya, banyak tentera Salib yang mengelupur mati kerana manjadi mangsa panahan tentera Islam. Pertempuran kali ini membawa episod duka tentera Salib yang menyaksikan ramai antara mereka yang terkorban. Reinald de Chatillion pula enggan berundur dan  menganggu Jemaah haji yang ingin ke Makkah sama ada melalui jalan laut dan darat. Lebih malang lagi ada diantara mereka yang dibunuh termasuk wanita dan kanak-kanak dan harta benda turut dirampas. Namun demikian ada juga Jemaah yang hidup kerana pura-pura mati disebalik mayat-mayat yang bergelimpangan.

Tindakan melampau Reinald de Chatillion ini sekali lagi menaikkan darah Salahuddin.  Panglima Muluk diarahkan ke tempat kejadian untuk memberi pengajaran kepada tentera Salib malangnya mereka sudah tiada. Perbuatan Reinald de Chatillion bukan menakutkan umat Islam malahan menjadikan mereka lebih berani dan kuat. Salahuddin telah menakluk Damysik, Yaman dan Beirut sekaligus disatukan untuk menentang tentera Salib. Pertempuran tentera armada Islam dan Salib semakin sengit di Selat Aqabah sehingga memaksa Reinald de Chatillion menjalankan satu helah merasuah pemimpin Islam dan mengadakan genjatan senjata. Namun, helahnya menjadi sia-sia kerana Panglima Syamsuddin sedikit pun tidak peduli dengan sogokkan harta yang ditawarkan kepadanya. Hal ini menjadikan tentera Salib dalam keadaan yang tertekan dan akhirnya tewas.

Perang Hittin  (14 Rabiulakhir 583 H)

Pertempuran yang paling sengit antara tentera Islam dan tentera Salib ini berlaku  di Hittin. Perang ini merupakan Perang Salib kedua dalam sejarah Islam susulan kejayaan Pope Urban II yang berjaya menakluk Baitulmaqis pada Julai 1099. Perang Salib pertama tercetus disebabkan oleh seruan Pope Urban II untuk mengembalikan kesucian Tanah Suci Kristian (Jeruselam) dan membebaskan penduduk Kristian Timur daripda pemerintahan Islam. Rentetan daripada seruan ini telah berhasil menundukkan banyak kawasan pengaruh Islam akhirnya tunduk kepada Empayar Rom Barat antaranya Tripoli dan Edessa.

Sejarah Perang Salib terjadi disebabkan pembangunan yang pesat di Eropah Barat dan kemerosotan Empayar Rome Bayzantine. Konflik dalaman dalam politik pemerintahan Kristian ini turut menjadi faktor kerana ramai kesatria Kristian dari kaum Viking, Slav dan Magyar tidak mempunyai pekerjaan dan menganggu golongan petani. Kemusnahan terus berlaku sehingga memaksa pihak gereja melakukan genjatan senjata (Peace  and  Truce  of  God). Menambah rencah polemik  yang terjadi dalam sosial Kristian apabila Khalifah Fatimiyyah melakukan pengeledahan hospis  pilgrim di Jerusalem dan kemusnahan “Gereja Makam  yang  Suci” (Roslan&Shakila,2012). Justeru, sentiment agama akhirnya turut menjadi faktor peperangan berlaku.  Akhirnya gerakan ketenteraan Salib berjaya menawan Palestine pada 1099 Masihi.

Sebelum berlangsungnya Perang Hittin, tentera Islam sudah melumpuhkan kubu kuat tentera Salib antaranya Kota Safariyah. Mereka turut mengawal punca air daripada sampai ke tentera Salib. Kedudukan tentera Islam ketika ini sangat kuat dan selesa dengan bekalan harian yang mencukupi. Pemanah Islam mula membidik panahan mereka ke daun dan rumput yang kering untuk membuat tentera Salib semakin haus dan panik. Tentera Salib cuba melarikan diri ke Kota Tarbiyah untuk mendapatkan bantuan air namun disekat oleh tentera Islam. Tentera Islam terus mengasak dan membakar sekeliling dengan daun-daun kering. Ramai tentera Salib yang mati akibat lemas dengan asap tebal. Kemuncak pertempuran adalah apabila tentera Salib ingin memacak Salib besar di Bukit Hittin. Pasukan pemanah elit Islam berjaya menguasai puncak Bukit Hittin dengan bantuan tentera Islam dan panglima mereka. Panji-panji Islam terus ditegakkan dengan berkibarnya bendera Islam di puncak Bukit Hittin.

Tentera Salib akhirnya tewas dengan kegagahan tentera Islam. Seramai 30 000 orang tentera salib yang terkorban manakala 5 000 tentera Islam yang syahid.  Reinald de Chatillion  dn Raja Reymond turut ditahan. Reinald de Chatillion mati ditangan Salahuddin Al-Ayubi kerana pernah menghina rasul junjungan kita Rasulullah S.A.W. Manakala, Raja Raymond pula dibebaskan dan balik ke Eropah. Namun, hayatnya tidak lama apabila sering diserang umat Islam semasa dalam perjalanan dan akhirnya mati dalam satu pertempuran.

Detik Bersejarah

Kekalahan tentera Salib amat memalukan raja dan pemerintah kuasa Eropah. Salahuddin memulakan operasi untuk menawan Baitulmuqaddis dengan mengepung Kota Asqalan. Mempunyai pengalaman yang luas dalam pertempuran dengan tentera Salib membolehkan Salahuddin membaca gerak geri musuhnya. Salahuddin telah memintah pemerintah Mesir untuk menyekat bantuan kapal Eropah. Tentera Islam sudah siap sedia mahu mengempur masuk Baitulmqadis tetapi Raja Balian (Raja Jeruselam) mahu  berjumpa dengan Salahuddin. Tujuannya adalah mahu mengadakan rundingan damai dengan Salahuddin. Rundingan damai dimeterai oleh kedua pihak dengan syarat yang ditetapkan oleh Salahuddin iaitu orang Kristian yang mahu keluar dari Baitulmuqaddis harus membayar tebusan dalam masa 40 hari sebelum menjadi tawanan. Akhirnya, pada 27 Rejab 583 Hijrah, Salahuddin dan pasukan tentera Islam memasuki Jeruselam tanpa sebarang pertumpahan darah. Penduduk Islam yang menjadi tawanan tentera Salib turut dibebaskan.

Sultan Salahuddin Al-Ayubi seorang pemerintah yang mempunyai akhlak terpuji dan sikap keprihatinannya menonjol tanpa mengira bangsa dan agama. Pemimpin tentera Salib yang menyerah diri diarahkan keluar dari Jerusalem dengan aman setelah mereka membayar tebusan masing-masing. Manakala, golongan fakir miskin dan hamba Kristian pula dibantu oleh Al-Adil (adik Salahuddin) dan Geukburi (Adik Ipar Salahuddin) untuk melangsaikan tebusan mereka. Walaupun dinasihatkan untuk merampas harta benda golongan bangsawan Kristian, Salahuddin menolaknya dengan baik kerana Salahuddin berpendapat penaklukan Jerusalam adalah untuk memelihara kesucian Masjid Aqsa dan mengembalikannya ke tangan umat Islam. Ini membuktikan bahawa Salahuddin sangat mencontohi akhlak Rasululah S.A.W ketika berperang. Kemenangan besar tentera islam ini amat mengembirakan umat Islam di pelusuk dunia. Pelbagai sanjungan dan pujian yang Salahuddin dan pasukannya terima. Berlainan pula di pihak pemimpin Kristian Eropah yang terpaksa menerima tamparan memalukan ini.

Dendam yang tersemat sekian lama tidak pernah terpadam untuk umat Islam.  Raja-raja Eropah mula mengumpul pasukan mereka untuk serangan balas. Misi kali ini diketuai oleh Panglima William dengan mensasarkan Kota Arca. Pentadbir Islam di Kota Arca iaitu Panglima Abdul Rahim segera meminta bantuan kepada Salahuddin ekoran anggaran musuh pada kali ini terlalu ramai. Kedua-dua pasukan ini menunjukkan taring masing-masing. Sama-sama kuat dan hebat. Pengaturan strategi memainkan peranan yang penting sekiranya salah percaturan Baitulmaqis dan wilayah yang berjaya ditakluk umat Islam akan kembali jatuh ke tangan pemerintah Kristian. Salahuddin berjaya menemui satu lembah untuk memasuki Kota Arca dan berjaya meninjau pergerakan musuh. Tentera Islam sama sekali tidak memberi peluang kepada tentera Salib. Mereka menyekat dan memusnahkan kapal-kapal armada tentera Salib.

Ekoran daripada ini, ramai Raja-raja Eropah kembali mengajak Salahuddin untuk berdamai. Syarat-syarat yang dikemukakan adalah dengan genjatan senjata selama 3 tahun dan yang kedua adalah menyerahkan Kota Asqalan kepada Eropah selain membenarkan orang Kristian menziarahi Jeruselam tanpa gnagguan. Namun, syarat kedua ternyata tidak dipersetujui oleh Salahuddin yang menganggap Kota Asqalan adalah pengorbanan terbesar tentera Islam yang telah mengorbankan banyak nyawa. Manakala, penganut Kristian tidak dibenarkan masuk ke Jerusalam tanpa kebenaran kerana Masjid Aqsa tetap menjadi rumah ibadat umat Islam.  Raja Richard akhirnya akur dan menandatangani perjanjian damai pada 20 Syaaban 588 Hijrah. Semangat bersatu padu tentera Islam era Salahuddin berjaya mengembalikan Baitulmuqaddis ke tangan Islam. Jasa Sultan Salahuddin Al- Ayyubi sebagai seorang pahlawan Islam yang berani akan dikenang sepanjang masa.

Rumusan

Nama Salahuddin Al-Ayybi akan sentiasa meniti dibibir umat Islam dahulu hingga kini. Seorang penglima dan negarawan Islam yang zuhud dan warak berjuang untuk menegakkan Islam sehingga ke akhir hayatnya. Umat Islam yang sebelumnya ditindas dan dibunuh kerana tidak dibenarkan solat di Masjid Aqsa selama lebih 80 tahun. Salahuddin menjadi tonggak dalam mempertahankan hak umat Islam yang satu ini. Sejarah lalu mengajar kita bahawa perpecahan tidak akan membawa untung kepada umat Islam bahkan membuka peluang kepada musuh untuk menindas kita semula. Menyingkap kembali perjuangan Salahuddin yang memuliakan agama dalam pemerintahannya bukan pangkat dan harta benda semata-mata. Mencontohi Rasulullah S.A.W sebagai seorang negarawan telah membentuk sifat zuhud dan tawaduuk dalam dirinya. Jasamu dikenang Sultan Salahuddin Al-Ayubbi.

-NNZ-

Rujukan 

Abdul Latip Talib, (2014). Salahudin Al-Ayubi Pembuka Baitulmuqaddis. PTS Litera Utama Sdn Bhd.Selangor.

M. Roslan Mohd Nor & N. Shakila Mohd Noor, (2012). Perang Salib dan Kejayaan Salahuddin Al-Ayubi Mengembalikan IslamicJeruselam kepada Umat Islam. Jurnal Al-Tamaddun Bil. 7(1)2012, 61-74.

‘Abdullah Nasih ‘Ulwan, (2002). Salah Ad-Din Al-Ayyubi Hero of Battle Hittin and Leberator of Jeruselam from Crusaders 532-589 A.H/ 1137-1193 C.E. Retrieved from https://ebooks.worldofislam.info/ebooks/Jihad/Salahuddin.pdf

Comments

Popular Posts