GERAKAN ANTI-PENYERAHAN SARAWAK (ANTI-CESSION MOVEMENT OF SARAWAK)

Proses Penyerahan Sarawak kepada Koloni Mahkota British



Ekoran daripada keputusan Sir Vyner Brooke untuk menyerahkan atau "menjual" tanah Sarawak secara rasmi kepada Koloni British pada 1 July 1946 telah mencetuskan satu gerakan politik untuk menentang Sarawak menjadi salah satu tanah jajahan mahkota. Vyner Brooke berusaha untuk memujuk penduduk tempatan Sarawak mempersetujui penyerahan ini . Brooke cuba untuk menyakinkan rakyat Sarawak bahawa Kerajaan Britain mampu membawa kestabilan dan pembangunan di tanah Sarawak. 

Bagi mendapatkan reaksi penduduk tempatan berkenaan dengan penyerahan ini, Brooke telah menghantar Gerald MacBryan (Setiausaha Sulit Brooke) untuk berjumpa dengan pemimpin Cina dan Datu-datu Melayu di Kuching. Antaranya adalah Ong Tiang Swee, Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, Datu Pahlawan Abang Haji Mustapha dan Datu Amar Abang Sulaiman. MacBryan cuba memujuk pemimpin ini untuk menandatangani surat sokongan penyerahan. Pemimpin tempatan turut ditawarkan ganjaran hadiah berupa wang tunai bagi mendapatkan sokongan. 

Diakhir perbincangan, Abang Haji Mustapha dan Ong Tiang Swee menerima ganjaran sebanyak $45,000 untuk diagihkan kepada penduduk masing-masing yang menderita selepas penindasan Jepun. Hal ini kerana, faktor ekonomi yang lumpuh di Sarawak selepas perang akan pulih dengan bantuan British. Manakala, Datu Patinggi Abang Haji Abdillah pula membantah sekeras-kerasnya cadangan ini dan mahukan pemerintahan Brooke. Abang Abdillah dan penyokongnya percaya pewaris seterusnya mampu membawa kemerdekaan kepada Sarawak.

Selain itu, pihak British turut menghantar wakil mereka iaitu C.W. Dawson dari England untuk meninjau reaksi penduduk. British turut menghantar dua ahli parliament mereka dari Parti Buruh yang diwakili oleh David Rees William dan Kapten L. David Gammans dari Parti Konservatif untuk menyelidik dan mendengar laporan cadangan penyerahan. Rombongan kedua ahli parlimen ini bagaimanapun mendapat reaksi agak dingin terutamanya dari Datu Patinggi Abang Haji Abdillah. Pemuda Melayu Sarawak mengangkat sepanduk “No cession” dan “We Want Brooke Rule”. 

Perjumpaan antara penduduk tempatan dan ahli parliament British ini tidak hanya berlangsug di kerajaan pusat bahkan turut meliputi seluruh Sarawak sehingga ke Lingga. Beberapa wakil orang Iban turut tidak berkecuali dan menyokong cadangan penyerahan. Akhirnya, rombongan ini pulang dan melaporkan hasil penyelidikan ini kepada Pejabat Koloni British yang majoriti daripada mereka menyokong penyerahan Sarawak kepada British. Manakala golongan anti-penyerahan pula menganggap keputusan penyerahan ini tidak sah. Susulan daripada itu, pada 21 Mei 1946 Rajah Charles Vyner Brooke dan C.W. Dawson (wakil Britain) telah menandatangi dokumen penyerahan Sarawak kepada Mahkota British di Astana, Kuching. Pada 1 Julai 1946 pula mencatat sejarah apabila upacara Hari Penyerahan atau Cession Day diadakan dihadapan bangunan mahkamah, Pangkalan Batu, Kuching.

Gerakan Anti-Penyerahan

Datu Patinggi Abang Abdillah mengetuai Persatuan Kebangsaan Melayu (PKMS) mengadakan satu tunjuk perasaan di Kuching. PKMS dipecahkan kepada dua kelompok iaitu konservatif (golongan tua) yang terdiri daripada orang-orang besar tradisional. Manakala, kelompok kedua adalah progresif “inner circle” (golongan muda) yang terdiri daripada guru dan pegawai kerajaan. Hal ini kerana, PKMS beranggapan bahawa Rajah Brooke telah melanggar perjanjian yang dirangka nya pada  pada 24 September 1941 iaitu Perlembagaan Sarawak 1941 atau Nine Cardinal Principles.

Perlembagaan ini jelas menyatakan bahawa Tanah Sarawak akan ditadbir sendiri oleh anak Sarawak sendiri dan Kerajaan Brooke menyata hasrat untuk memajukan dan menaik taraf perkhidmatan sosial, pendidikan, dan hidup penduduk Sarawak seperti yang termaktub dalam perkara 2 dan 8 Perlembagaan Sarawak. (Isi Nine Cardinal Principle). Selain itu, MacBryan turut mendapatkan sokongan rakyat dengan tipu muslihat dan ketua pribumi tidak diajak untuk berunding tentang cadangan tersebut. Perjuang Abang Abdillah ini jelas mahukan kemerdekaan untuk Sarawak bukan berada dalam jajahan British. 

Selain Abang Abdillah dan PKMS, golongan Orang Iban di Kuching turut sama menyertai prostes ini. Persatuan Dayak Sarawak (PDS) mewakili masyarakat Iban di bahagian pertama Sarawak dan mereka diketuai oleh Philip Jitam. Golongan terpelajar anak-anak Sarawak turut menyuarakan tidak puas hati akan tindakan Vyner Brooke menyerahkan Sarawak kepada British. Maka, timbullah gerakkan yang dipelopori oleh orang muda antaranya Barisan Pemuda Sarawak (BPS) dari Kuching dan Pergerakan Pemuda Melayu (PPM) dari Sibu.

Gerakan anti-penyerahan ini menjadi semakin radikal sekitar akhir tahun 1946 dan awal tahun1947 dengan terwujudnya 52 pertubuhan antaranya Persatuan Bumiputera Sarawak (PBS), Angkatan Bintawa-Astana Sarawak (ABAS) dan tidak terkecuali Kaum Ibu PKMS yang dipimpin oleh Lily Eberwein. Ini jelas menunjukkan anak tempatan Sarawak tetap mahu memperjuangan kemerdekaan untuk Bumi Kenyalang. Selain itu, golongan anti-penyerahan ini turut memboikot dan memulaukan golongan pro-penyerahan termasuk Mufti Sarawak yang menyokong penyerahan ini. 

Anti-penyerahan ini turut membuat tindakan dengan menghantar memorandum kepada Ketua Setiausaha Pejabat Kolonial, mengadakan demonstrasi dan himpunan raksasa. Mereka turut tidak meraikan kehadiran Malcolm MacDonald ke kampung-kampung. Kedatangan MacDonald disambut sepi terutama di perkampungan Melayu. Pada bulan Oktober 1946, mereka turut memulaukan perucapan Charles Arden Clarke (Gabenor British pertama) di Astana, Kuching.

Bagi membendung pengaruh anti-penyerahan ini, Kerajaan British telah mengeluarkan surat pekeliling yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kerajaan, C.W. Dawson untuk memberi amarah kepada penjawat awam seupaya tidak menyertai sebarang unsur gerakan anti-penyerahan. 

“Any government servant who associated himself with any activity designed to keep open the question of cession or commits any act of disloyalty to government will render himself liable to instant dismissal.” (Circular No. 9)       
     
                                                                                  (Dr. Ho Hui Ling,2017)  

Walau bagaimanapun, surat pekeliling ini telah mencetuskan kontroversi dalam kalangan rakyat tempatan sehingga dilaporkan seramai 400 orang meletak jawatan sebagai tanda protes. Tindakan drastik British ini bagaimanapun menyedarkan segelintir perjuang anti –penyerahan bahawa tiga tahun perjuangan ini tidak membawa apa-apa makna dan mengubah pendirian British. Justeru, tindakan yang lebih agresif harus dilaksanakan.

Lanjutan daripada itu, satu organisasi rahsia yang radikal dibawah Pergerakan Pemuda Melayu (PPM) telah menubuhkan Rukun Tiga Belas pimpinan Awang Rambli bin Mohd. Deli. Penubuhan Rukun Tiga Belas disebabkan oleh perjuangan gerakan anti-penyerahan semakin lemah kerana pihak British berjaya mendapatkan sokongan masyarakat Iban di bahagian ketiga Sarawak (Sibu). British turut menuduh perjuangan anti-penyerahan adalah satu kepentingan untuk masyarakat Melayu. Rentetan itu, berlaku perselisihan faham antara orang Melayu dan Iban. Ramai masyarakat Dayak menarik diri dalam organisasi tersebut. Anggota Rukun Tiga Belas ini dianggotai oleh:

1) Awang Rambli
2) Abang Han
3) Rosli Dhoby
4) Abang Ahmad
5) Morni Junit
6) Awang Osman
7) Jack Yusof 
8) Osman Dollah
9) Abang Mat Sirat
10) Che Alias Osman
11) Amin Jenal
12) Wan Zin 
13)  Tambek Adun

Nama-nama ini telah mencatat satu lagi sejarah penting untuk Sarawak apabila mereka telah merancang untuk membunuh Gabenor British yang kedua iaitu Sir Duncan Steward. Selain itu, mereka turut merancang untuk membunuh pegawai British dan Datu-datu yang menyokong kerajaan British. Lawatan rasmi pertama Steward ke Sibu pada 3 Disember 1949 ternyata membawa malapeta kepada Steward. Semasa melakukan pemeriksaan pembarisan sekolah, Rosli Doby serta Morshidi telah bersembunyi dibelakang murid sekolah. Lantaran itu, apabila Steward datang mendekat Rosli telah mengambil peluang tersebut untuk menikam perut Steward dengan menggunakan badik yang disapu racun. Rosli Doby berjaya ditangkap di tempat kejadian manakala Steward mendapat rawatan di Hospital Sibu sebelum diterbangkan ke Singapore. Nasib Rosli Doby dan ahli Rukun Tiga Belas umpama telur dihujung tanduk apabila selepas seminggu mendapatkan rawatan Steward disahkan meninggal dunia pada 10 Disember 1949.

Rentetan daripada itu, Rosli Dhoby telah dibicarakan dan dijatuhi hukuman gantung pada 2 Mac 1950. Awang Ramli dan Bujang Suntong turut menerima nasib yang sama seperti Rosli Dhoby. Manakala, ahli yang lain menerim hukuman penjara 7 sehingga 15 tahun. Dilaporkan perbicaraan kes Rosli Dhoby dianggap “shabby and vindictive” kerana dibela oleh pegawai kerajaan yang tiada asas dalam undang-undang. Tindakan Rukun Tiga Belas ini telah membawa perubahan kepada organisasi anti-penyerahan yang lain. Kerajaan British semakin telah membanteras gerakkan ini dan PPM turut diharamkan oleh kerajaan Sarawak. Selepas daripada kejadian yang mendukakan ini, gerakan anti-penyerahan menjadi semakin pudar.

Semangat nasionalisme dan tindakan berani Rosli Dhoby ini berjaya memberi kesedaran kepada penduduk tempatan tentang erti kemerdekaan. Walaupun pahit untuk ditelan oleh pihak keluarga anggota Rukun Tiga Belas tetapi semangat yang dibawa oleh mereka seolah-olah telah menjadi pencetus kepada rakyat Sarawak untuk bangkit menentang penjajah. Hal ini dapat dibuktikan apabila rakyat tempatan mula melaungkan slogan “WE DO NOT WANT TO BE COLONISED” dan “NO CESSION, SARAWAK IS OUR BLOOD AND SOUL” ketika demonstrasi. Mereka mendesak British untuk memberi taraf berkerajaan sendiri dan kemerdekaan kepada Sarawak.

Akhirnya, gerakan anti-penyerahan ini dianggap gagal disebabkan oleh beberapa faktor antaranya selepas kematian Datu Patinggi Abang Abdillah, gerakkan anti-penyerahan kehilangan pemimpin yang berwibawa. Di sampan itu, kurang semangat nasionalisme dalam kalangan pemimpin sehingga menyebabkan pertubuhan bergerak berasingan. Kegagalan untuk mendapatkan sokongan padu dan menyeluruh daripada penduduk turut menjadi punca gerakkan anti-penyerahan gagal mencapai matlamat.

Namun begitu, di sudut positifnya tindakan drastik Rukun 13 ternyata menjadi pemangkin kepada rakyat Sarawak untuk menuntut kemerdekaan dari British. Pada awal 1960, gerakkan politik berparti telah ditubuhkan bagi meneruskan perjuangan gerakan anti-penyerahan untuk membebaskan Sarawak daripada Koloni British. Gerakan politik ini adalah Parti  Bersatu  Rakyat Sarawak  (SUPP)  pimpinan  Ong  Kee  Hui (orang Cina), Parti Negara  Sarawak  (PANAS)  dipimpin  oleh  Dato  Bandar  Abang  Haji  Mustapha (orang Melayu) dan Parti Kebangsaan  Sarawak  (SNAP)  di  bawah  pimpinan  Stephen  Kalong  Ningkan (orang Dayak). Parti politik ini dilihat terus berkembang dengan penubuhan Barisan  Rakyat  Jati   Sarawak  (BERJASA)  dipimpin  oleh  Abdul  Rahman  Yaakub dan  Abdul Talib Mahmud. Misi kali ini adalah ke arah penubuhan gagasan Malaysia.

Di Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman berhempas pulas untuk membebaskan negara dari jajahan British. Pelbagai proses yang rumit dan sukar perlu ditempuhi oleh Bapa Kemerdekaan Malaysia ini. Tunku Abdul Rahman turut mengadakan lawatan di Sarawak Jun 1961 dan Oktober 1962. Hasil lawatannya, kesemua parti politik bersetuju kecuali SUPP yang tidak bersetuju dengan gagasan Malaysia. Bagi mempercepatkan proses kemerdekaan dan menstabilkan ekonomi negara, Parti Perikatan Sarawak (gabungan semua parti kecuali SUPP) telah bersetuju untuk menyertai dalam pembentukkan Malaysia. Akhirnya, pada 16 September 1963 impian rakyat Sarawak untuk merdeka akhirnya menjadi kenyataan.

-NNZ-

Rujukan

Dr. Ho Hui Ling, (2017). PERGERAKAN POLITIK DI SARAWAK:ISU PENYERAHAN SARAWAK KEPADA BRITISH. Retrieved from 
http://eprints.um.edu.my/17849/1/DR_HO.pdf

Syed Husin Ali, (2017). Sejarah Rakyat (Khususnya Perkembangan Nasionalisme) Malaysia. Strategic Information and Research Development Centre. Selangor, Malaysia.

Comments

Popular Posts