PENENTANGAN SARAWAK KINGDOM

Sarawak Bumi Kenyalang

                                 

Nama Sarawak tidak dapat dibuktikan secara saintifik oleh pengkaji sejarah. Namun, dapat disimpulkan bahawa nama tanah bertuah ini diambil sempena nama Sungai Sarawak yang mengalir dari kawasan Pendalaman Kuching di Bau sehingga ke Kota Samarahan (Sarawak Prosper). Nama Sungai Sarawak ini pula diperoleh daripada sejenis batu bijih yang mengandungi belerang dan antimoni iaitu “Serawak”. Antimoni adalah sumber alam yang kaya di Sarawak semasa era Kesultanan Brunei. Selain itu, nama Sarawak turut dikaitkan dengan nanas Sarawak. Nanas ini dikatakan subur di kawasan Batu Kawa dan mempunyai rasa yang manis dan sedap. Justeru, nanas yang banyak dikawasan ini telah menghasilkan nama Sarawak.


Penempatan pertama penduduk Sarawak adalah di Santubong yang dibuka oleh sekumpulan penduduk Melayu. Santubong menjadi pusat perlabuhan entrepot terpenting di Nusantara pada satu ketika dahulu. Kedatangan orang Melayu ke Santubung dikatakan bermula semasa pemerintahan Kerajaan Srivijaya pada abad ke-10 hingga ke abad ke-13. Faktor perluasan kuasa telah memyebabkan penghijrahan orang Melayu dari Sumatera datang ke persisiran Sarawak. Oleh hal yang demikian, mereka mula membentuk satu organisasi sosial sehingga menjadi sebuah pentadbiran.

Kedatangan "Royalist" James Brooke

Bumi kenyalang yang terletak di kepulauan Borneo ini juga pernah menjadi sebahagian daripada pemerintahan Kesultanan Brunei. Namun, akibat daripada pemberontakan di Sarawak telah membawa satu perubahan baru kepada Negeri Bumi Kenyalang ini. Isu pemberontakan telah berlaku pada tahun 1835 ini berpunca dari rasa tidak puas hati penduduk Sarawak terhadap wakil pentadbir Brunei iaitu Pangiran Indera Mahkota Muhammad Salleh. Wakil Brunei ini telah melakukan penindasan dengan mengumpul hasil daripada penduduk tempatan. Rentetan daripada itu, Raja Muda Hashim telah dihantar oleh Sultan Omar Ali bagi menyelesaikan pemberontakan tersebut.

Walau bagaimanapun, Raja Muda Hashim gagal mematahkan pemberontakan yang berlaku. Solusinya, Raja Muda Hashim cuba mendapatkan bantuan seorang pedagang dan pelayar Inggeris yang merupakan bekas askar Syarikat Hindia Timur British iaitu James Brooke. Pada awalnya, James Brooke bersama kapalnya H.M Royalist hanya menjadikan Sarawak tempat persinggahan sebelum pergi ke destinasi yang lain. Brooke mempunyai kelengkapan senjata dan pengikut yang banyak untuk membantu Hassim menentang pemberontak. Justeru, Hashim menawarkan ganjaran kepada James Brooke sekiranya beliau berjaya mengamankan keadaan di Sarawak. Brooke yang pada awalnya menolak pelawaan Hassim akhirnya menerima pelawaan tersebut. Hal ini kerana Brooke berazam mahu menjadikan Sarawak berada dalam pengaruhnya seperti yang dilakukan oleh Stamford Raffles di Singapura. Ternyata, perlayaran Brooke pada tahun 1839 di Sarawak ini membawa tuah kepadanya.

Brooke dengan mudahnya berjaya mengalahkan pemberontak. Beliau diberikan pangkat dan dilantik sebagai Residen Sarawak dan Gabenor Sarawak pada 24 September 1841. Cita-citanya tercapai apabila Sarawak diserahkan secara rasminya kepada beliau dan menjadi hak milik perseorangan James Brooke dan waris-warisnya. James Brooke menjadi Rajah Sarawak pertama di Sarawak dengan gelaran “The White Rajah” (Rajah Putih). Pentadbiran keluarga Brooke ini berlangsung selama kira-kira 100 tahun sehingga 1941 apabila Perang Jepun bermula di tanah Sarawak.

James Brooke telah berjumpa dengan Sultan Omar Ali bagi mendapat restu dan pengesahkan kedudukannya. Setelah semuanya selesai, Brooke mula menyusun satu bentuk pentadbiran berkonsepkan England kepada Sarawak. Sarawak dibahagikan kepada tiga wilayah yang setiap wilayah tersebut mempunyai seorang pegawai tadbir. Brooke berusaha untuk menghakis saki-baki pengaruh Kesultanan Brunei dan melantik pembesar-pembesar dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina, dan Dayak yang menyokong beliau untuk membentuk Sarawak Kingdom. Brooke turut memperkenalkan sistem pungutan cukai atas setiap hasil dibawah pentadbirannya.

Dasar dan sistem yang diperkenalkan oleh Brooke ini mendapat tentangan dari penduduk pribumi yang lain terutamanya etnik Iban di Saribas dan Skrang. Selain itu, campur tangan Brooke terhadap adat resam dan kebudayaan etnik Sarawak turut mendorong kepada pemberontakan berlaku. Brooke dengan lancangnya  menuduh Orang Dayak sebagai lanun dan cuba menghapuskan aktiviti “Head Hunters”. Hal ini telah membangkitkan kemarahan penduduk setempat. Pemburu kepala merupakan satu tradisi Orang Dayak di Kepulauan Borneo. Tradisi ini dijadikan satu simbolik kepada pahlawan Dayak dan kepala yang dipenggal dianggap sebagai trofi bukti kegagahan dan kepahlawanan mereka.

Penentangan Orang Melayu terhadap Sarawak Kingdom

Penentangan pertama semasa pentabdiran Brooke berlaku pada tahun 1843. Hal ini kerana, golongan Sharif (Melayu Arab) di Saribas dan Skrang tidak bersetuju dengan pembaharuan dalam kerajaan. Pengaruh dan pendapatan Sharif merosot kerana Brooke mula menguasai hasil-mashul tempatan. Golongan Sharif bergabung dengan masyarakat Iban di Saribas, Skrang dan Batang Lupar yang turut menentang Brooke. Ekoran daripada itu, Sharif Sahab dan Sharif Mullah mula merancang untuk menyerang Brooke di Kuching tetapi gagal. Brooke yang berjaya menghidu rancangan Sharif Sahab telah meminta bantuan pemerintah England dengan alasan untuk membendung aktiviti lanun di kawasan Saribas dan Skrang.

Rentetan daripada itu, satu pertempuran telah berlaku apabila Kapten Henry Keppel dan armada perang HMS Dido dan HMS Phlegathon datang dan menyerang kumpulan Sharif Sahab dan Sharif Mullah di Pemutus dan Undup. Kelengkapan senjata yang hebat dari pihak Brooke memaksa mereka berundur ke Pontianak. Syarif Sahab dikhabarkan meninggal dunia di Pontianak. Sharif Mullah pula berangkat ke Lingga dan bergabung dengan Sharif Jaafar untuk meneruskan penentangan. Walau bagaimanapun, usaha ini turut tidak membuahkan hasil. James Brooke telah melucutkan jawatan pembesar kepada Sharif Jaafar manakala Sharif Mullah diberi pengampunan dan dibenarkan tinggal di Skrang.

Pada tahun 1853, Brooke telah membina Kubu Emma di Kanowit dan mengambil alih kawasan Sungai Rejang. Hal ini telah mengugat kedudukan Sharif Masahor (Gabenor Sarikei) yang dilantik oleh Sultan Brunei dan aktif sehingga pemerintahan Brooke. Kemuncak ketegangan berlaku apabila Pengiran Matusin  (Penyokong Brooke) membunuh Pengiran Arshad. Pengiran Arshad merupakan pemerintah Mukah dan ayah mertua kepada Sharif Masahor. Pertumpahan darah yang berlaku ini telah menyebabkan Sharif Masahor bergabung dengan orang Iban untuk melancarkan serangan kepada Pengiran Matusin. Malangnya, serangan tersebut berjaya dipatahkan sehingga Sharif Masahor dilucutkan jawatan.

Rentetan daripada itu, pahlawan Melanau iaitu Sawing dan Sakalai (Pengikut Sharif Masahor) telah membunuh dua pegawai Eropah iaitu Charles Fox dan Henry Steele di Kubu Emma. James Brooke yang berang terus bersiap sedia untuk menyerang Kanowit dan akhiranya Sawing dan Sakalai berjaya ditangkap seterusnya dihukum mati. Justeru, pada tahun 1860, Sharif Masahor merancang untuk menyerang Kuching melalui jalan laut. Rancangan ini turut disertai oleh Pengiran Temenggung Hashim Jalil dan Datu Patinggi Abdul Ghafur yang berada di Pontianak. Mereka berkomplot untuk membunuh Brooke di Sungai Rejang dan seterusnya menawan Kuching. Malangnya, sekali lagi rancangan ini gagal apabila berjaya dihidu oleh pihak Belanda di Pontianak. Susulan itu, Pengiran Temenggung Hashim Jalil dan Datu Patinggi Abdul Ghafur ditangap dan dipenjara di Batavia.

Batang Sungai Rejang sekali lagi menjadi saksi bisu apabila pertempuran antara Sharif Masahor dan James Brooke berlaku. Armada perang Sarawak Kingdom pimpinan Tuan Muda Charles Brooke ketika ini berjaya membunuh ramai pengikut Sharif Masahor dan akhirnya mereka terpaksa berundur ke Sarikei kemudian ke Igan. Tuan Muda Charles Brooke telah membakar rumah-rumah pengikut Sharif Masahur di Sarikei dan Igan. Rentetan daripada itu, Sharif Masahor berundur ke Mukah dengan meminta bantuan Pangiran Nipa (Ipar Sharif Masahor). Sekali lagi, pada bulan Ogos pertempuran tercetus namun Brooke tidak berjaya mengalahkan Pangiran Nipa.

Susulan daripada itu, Brooke yang rasa terancam dengan gabungan Sharif Masahor dan Pangiran Nipa telah berjumpa dengan Sultan Mukmin untuk meminta kerjasama baginda dalam usaha membanteras pemberontakan. Brooke meminta supaya Sultan Mukmin memerintahkan Sharif Masahor dibuang negeri dan Pangiran Nipa dilucutkan jawatan. Sultan Mukmin bersetuju dan memerintahkan Sharif Masahor dibuang ke Selangor. Akhirnya, Sharif Masahor terpaksa akur dan meninggal dunia di Selangor pada tahun 1890. Jawatan pembesar Mukah yang dulunya disandang oleh Pangiran Nipa pula diganti kepada Pangiran Matusin.

Penentangan Orang Iban terhadap Sarawak Kingdom

James Brooke turut menghadapi penentangan yang hebat dari Orang Iban. Seperti Orang Melayu, masyarakat Iban turut bangkit memperjuangkan tanah dan adat mereka dari diganggu oleh pemerintah Inggeris. Antara tokoh yang lantang dalam penentangan ini adalah Rentap (Libau Anak Ningkan). Rentap merupakan ketua kaum Iban dan digelar “Raja Darat” oleh masyarakat di hulu Sungai Skrang. Rentap menganggap bahawa Brooke ingin merampas tanah Sarawak dengan mengenakan pelbagai cukai dan membebankan rakyat. Berikutan daripada itu, Rentap dan pengikutnya mula menyerang Brooke pada 19 Ogos 1844 dengan menggunakan beribu-ribu perahu daripada kedua-dua pihak. Hasilnya, beliau berjaya menghalang kemaraan Brooke dan 29 tentera Inggeris mati manakala 50 lagi cedera.

Susulan daripada itu, Brooke kembali ke medan perang pada 24 Julai 1849 dengan angkatan tentera yang lebih besar dan dibantu oleh masyarakat Iban yang menyokongnya. Tiga kapal iaitu Royalist, Nemesis dan Ranee telah digunakan bersama 80 kapal yang lain. Rentap dibantu oleh Abang Apong dan Linggir Mali Lebu bersama pengikut-pengikut mereka. Kali ini pertempuran Rentap dan Rajah Brooke berlaku di Beting Maru, Betong sehingga pertempuran ini dinamakan sebagai Perang Beting Maru. Perang ini mencatatkan sejarah paling lama di Sarawak iaitu berlangsung selama lima jam. Lebih kurang 500 pengikut Rentap mati dan ekoran daripada itu mereka terpaksa melarikan diri ke dalam hutan dan berundur menuju ke hulu Sungai Saribas.

Bagi menghalang kemaraan Rentap, James Brooke telah membina satu kubu di Lingga yang bernama Fort James. Brooke pernah mengajak Rentap untuk mengadakan rundingan damai di Ford James namun Rentap menolaknya. Rentap telah menyerang hendap pengikut Brooke di Lintang Batang, Nanga Skrang. Serangan Rentap ini mensasarkan kubu-kubu Brooke dan turut menenggelamkan bot tentera Brooke. Pegawai Inggeris Alan Lee turut dibunuh dengan lembing oleh Layang (menantu Rentap). Rentetan daripada ini, Rentap semakin disanjung oleh pengikutnya dan membawa pengikutnya ke Sungai Lang, Skrang.

Tindakan drastik Rentap yang membunuh pegawai Inggeris akhirnya membangkitkan kemarahan Brooke. James Brooke melancarkan serangan balas dan turut menyekat penduduk tempatan yang ingin menghulurkan bantuan kepada Rentap. Brooke telah menempatkan askarnya di merata tempat untuk mengawasi pergerakan orang awam. Pertempuran ini berlangsung selama 2 hari dengan kekuatan 7 000 ribu  tentera di pihak Brooke. Rentap turut membalas serangan Brrooke dengan menggunakan meriam. Akhirnya, Brooke telah membakar 20 buah rumah panjang yang turut didiami oleh Rentap dan beliau turut dilaporkan cedera.

Walaupun mengalami kecederaan, semangat Rentap sedikit pun tidak pernah luntur. Bukit Sadok dipilih untuk dijadikan sebagai kubu. Kubu ini bernama Kubu Tabat yang didirikan di kaki Gunung Sadok. Selain itu, Bukit Sadok turut berperanan untuk mengumpul penduduk tempatan yang menentang Brooke dan mengukuhkan pengaruh Rentap. Susulan daripada ini, Brooke telah melancarkan tiga ekpedisi untuk memerangi Rentap dan pengikutnya di Bukit Sadok. Pertempuran epik sekali lagi tercetus antara Rentap dan armada perang Sarawak Kingdom pada 7 Jun 1857. Tentera Brooke berusaha mendaki Gunung Sadong dan melakukan risikan untuk melancarkan serangan. Seramai 4 000 tentera dikerah untuk menawan Kubu Tabat namun tidak berhasil kerana kekukuhan kayu belian tidak dapat ditembusi oleh peluru. Pihak Rentap juga tidak kurang hebatnya dari aspek senjata kerana turut memiliki senapang,pistol kuno dan meriam yang diambil ketika pertempuran di Fort James. Tambahan lagi, hujan yang melanda di atas Gunung Sadok menyukarkan tentera Brooke. Akhirnya tentera Sarawak Kingdom berundur.

Ekspedisi kedua berlaku pada Ogos 1858. Brooke telah membawa senjata yang lebih canggih untuk menembusi dinding Kubu Tabat iaitu “Six Pounder Gun”. Walau bagaimanapun, dinding Kubu Tabat tetap gagal ditembusi. Sebaliknya, tentera Brooke dihujani sumpitan beracun, lontaran batu dan tembakan dari pihak Rentap. Hal ini memaksa tentera Brooke berundur dan sekali lagi mereka kecewa dengan kekalahan ini.

Pada tahun 1861, mencatat sejarah terakhir ekspedisi Brooke menawan Bukit Sadok. Pasukan Sarawak Kingdom kembali membawa Six Pounder Gun, Meriam Bujang Sadok, penembak roket serta penembak jarak dekat pasukan askar Negro. Serangan dilancarkan pada awal pagi dengan bunyi letupan Meriam Bujang Sadok dan Meriam Bujang Timpang Berang yang dimiliki Rentap. Pertempuran ini telah mengakibatkan pengendali Bujang Timpang Berang ditembak sehingga darahnya membasahi serbuk belerang meriam. Kesannya, Bujang Timpang Berang gagal berfungsi dan kesempatan ini diambil oleh pihak Brooke dengan menghalakan Bujang Sadok untuk membedil dinding Kubu Tabat.

Serangan bertali arus ini akhirnya menemui titik noktah apabila pada pada 28 Oktober 1861, Kubu Tabat telah dibakar oleh Brooke. Rentap dan pengikutnya berundur ke Bukit Lanjak, Skrang sehingga Entabai, Kanowit dan Julau. Akhirnya, pada 1870 Rentap menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua di Bukit Sibau.

Penentangan Orang Cina terhadap Sarawak Kingdom

Sejak pemerintahan Pangiran Mahkota Brunei, masyarakat Cina sudah mula berhijrah ke Borneo ekoran pembukaan lombong seperti antimoni dan emas di Sarawak. Semenjak Brooke memegang tampuk pemerintahan, beliau telah mengimport masyarakat Cina dalam skala yang besar bagi memenuhi peluang pekerjaan dalam sektor perlombongan. Masyarakat cina secara amnya sudah menetap di bumi Sarawak sejak tahun 1820-an dan kebanyakkan mereka berbangsa Hakka. Mereka merupakan peranan penting dalam industri perlombongan di Bau, Bidi, Paku dan Tandong.

Orang Cina tidak terkecuali dalam menentang pentadbiran Brooke di Sarawak. Punca penentangan mereka sama seperti masyarakat lain iaitu hal kutipan cukai dan monopoli sumber asli seperti bijih dan pertanian di Sarawak. Pelombong antimoni dan emas tidak puas hati akan tindakan Brooke yang meletakkan hasil-mashul lombong-lombong ini dalam Borneo Limited. Borneo Limited merupakan hak milik kerajaan Sarawak Kingdom. Disamping itu, gerakan kongsi gelap masyarakat Hakka iaitu San-Tiau Kou dan Ta-King turut dikawal rapi.

James Brooke tidak menggemari kegiatan kongsi gelap ini kerana beranggapan mereka seolah-olah menubuhkan “negeri di dalam negeri”. Hal ini kerana, persatuan kongsi gelap ini mempunyai sistem organisasi sendiri, kehakiman sendiri, matawang sendiri bahkan senjata dan turut mengibarkan bendera mereka sendiri bukan bendera Sarawak Kingdom. Susulan daripada itu, Brooke telah menubuhkan Daerah Bau pada 1852 dan melantik seorang kapitan cina dan kapitan Inggeris untuk mentadbir Bau. Perlantikan kapitan Inggeris ini adalah bertujuan untuk mengawal pengaruh kongsi gelap dan tidak membenarkan ketua kongsi gelap menghakimi pesalah dan mengambil tanah penduduk setempat dengan suka hati.

Di samping itu, konflik yang turut berlaku adalah perbalahan musuh lama masyarakat Cina Hakka dengan masyarakat Cina Hokkien dan Teochew di Kuching. Cina Hakka tidak bersetujui untuk berkongsi sumber ekonomi dengan Cina Hokkien dan  Cina Teochew terutamanya dalam penjualan candu.

Ekoran daripada itu, satu gerombolan masyarakat Cina Hakka mula menyerang kediaman Brooke di Kuching pada 18 Februari 1857. Brooke tidak menjangkakan serangan ini akhirnya terjun ke Sungai Sarawak dan meminta perlindungan di perkampungan Melayu. Kuching berada dalam tawanan Cina Hakka selama 3 hari. Rentetan daripada itu, Tuan Muda Charles Brooke mempersiapkan pasukan ketenteraan untuk menawan Kuching kembali. Berbekalkan sokongan masyarakat Melayu dan Dayak di pihak Brooke akhirnya berjaya merampas Kuching kembali. Dikhabarkan, penentang Cina Hakka ini telah diburu sehingga melepasi sempadan. Tragisnya, lebih kurang 2 000 penentang Cina Hakka dibunuh termasuk isteri dan anak-anak bagi melupuskan ancaman daripada para pelombong.



Bukan mudah untuk membentuk satu kerajaan yang aman dan damai. Pelbagai perit getir yang perlu dihadapi oleh masyarakat dahulu untuk membebaskan tanah tercinta dari tangan orang asing. Pejuangan tokoh-tokoh Sarawak seperti Rentap dan Sharif Masahor untuk merebut kembali kedaulatan negara begitu kental sehingga ke akhir hayat mereka. Semangat perjuangan mereka tetap berkobar sehingga menjadi contoh untuk generasi seterusnya.

-NNZ-

Rujukan

Shafiq Ridz (2011). History of Sarawak. Retrieved from
https://www.slideshare.net/gkuza/history-of-sarawak

Syed Husin Ali, (2017). Sejarah Rakyat (Khususnya Perkembangan Nasionalisme) Malaysia. Strategic Information and Research Development Centre. Selangor, Malaysia.

Borneo Orcle FB Page, (2015). Ekpedisi Bukit Sadok Perang Rentap Vs Brooke di Sarawak retrived from
https://web.facebook.com/BorneoOracle/photos/a.449424688437754/914081131972105/?type=1&theater

Borneo History, (2015). Sejarah Penentangan Pentadbiran Brooke di Sarawak (1841-1930an). Retrieved from

http://borneohistory57.blogspot.com/2015/11/sejarah-penentangan-ke-atas-pentadbiran.html

Comments

Popular Posts